PETALING JAYA: Agrobank telah memperkenalkan pelan strategik lima tahunnya, Pelan Perniagaan Strategik 2021-2025 (SBP 2021-2025) untuk memacu pelan pemulihan sosio-ekonomi dan pertumbuhan negara dalam sektor pertanian dan jaminan bekalan makanan.
Penanggung Tugas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, pertanian kekal sebagai salah satu enjin utama pertumbuhan daripada perspektif ekonomi dan pembangunan sosial di Malaysia.
“Sebagai satu-satunya Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) yang memfokuskan sektor pertanian di negara ini, Agrobank akan terus memberi tumpuan untuk berkhidmat mengikut keperluan sektor pertanian dan komunitinya menerusi SBP 2021- 2025 bagi memeta hala tuju perniagaan untuk lima tahun akan datang.
“Adalah menjadi mandat kami sejak penubuhan Agrobank pada 1969 untuk menyokong kerajaan dalam membangunkan sektor pertanian dan kami percaya dalam usaha mencapai visi diperbaharui kami ‘Memperkasakan Pertanian Melangkaui Perbankan’, masih banyak yang harus dilakukan untuk menyokong dan membangunkan komuniti agro, khususnya komuniti yang kurang mendapat perhatian dan terpinggir di negara ini,” katanya dalam kenyataan.
Ujarnya, Covid-19 telah mendekatkan pihaknya dengan para pelanggan dalam memberikan lebih perhatian untuk memahami keperluan kritikal mereka dalam tempoh yang sukar ini.
Jelasnya, gelombang Covid-19 juga dengan ketara telah mengubahsuai beberapa trend sedia ada terutamanya dalam penggunaan digitalisasi.
Pihaknya yakin masih banyak yang boleh dilakukan untuk komuniti dan pelbagai pelan menarik disusun bagi menyokong pemulihan jangka masa panjang sektor pertanian.
Khadijah memberitahu, SBP 2021-2025 telah dibangunkan ketika tempoh pandemik, justeru itu, ia jelas menggambarkan perancangan bank untuk menyokong serta membangunkan sektor pertanian dan komuniti agro bagi tempoh lima tahun akan datang.
Katanya, ia dilakukan menerusi empat bidang fokus utama iaitu pembangunan pertanian secara mampan, fokus pelanggan yang inklusif, model perniagaan yang transformatif dan juga keadaan kewangan yang lestari.
“Dalam merealisasikan matlamat SBP 2021-2025, Agrobank akan membentuk nilai secara proaktif menerusi perkongsian pintar dan kolaborasi strategik dengan rakan perniagaan demi mencapai faedah bersama khususnya dalam mencapai visinya.
“Berfungsi sebagai pemangkin dalam ekosistem ini, ia akan membolehkan Agrobank meneroka dan mencapai nilai maksimum menerusi sumber dan kepakaran mereka dalam industri pertanian dan makanan.
“Perjalanan untuk menjadi seorang usahawan terutama dalam sektor pertanian, sangat mencabar, oleh itu sebagai rakan kongsi jangka masa panjang dalam perjalanan ini, Agrobank akan menyokong agropreneur bukan sahaja dengan memberikan sokongan kewangan malah sokongan bukan kewangan seperti kelas bimbingan perniagaan pada setiap langkah kejayaan mereka,” katanya. – UTUSAN










