Untung bersih SD Plantation meningkat 63 peratus - Utusan Malaysia

Untung bersih SD Plantation meningkat 63 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Plantation (SD Plantation) mencatatkan keuntungan bersih 63 peratus lebih tinggi pada suku kedua tahun kewangan 2021 pada RM617 juta berbanding RM378 juta yang dicatat pada suku sama tahun lalu.

Syarikat perladangan itu turut mencatatkan keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) yang lebih tinggi pada RM938 juta, 71 peratus lebih tinggi berbanding RM547 juta yang direkodkan suku sama tahun lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, kumpulan itu berada dalam landasan untuk mencapai sasaran kewangannya untuk tahun kewangan 2021 walaupun menghadapi cabaran akibat pandemik Covid-19 dan sekatan pergerakan di seluruh negara.

Kata beliau, dengan kes Covid-19 yang terus tinggi dalam negara, pihaknya akan terus mengambil sikap berhati-hati dan melindungi keselamatan pekerjanya.

“SD Plantation secara aktif bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan bagi membantu melonjakkan program vaksinasi negara.

“Sehingga hari ini, kami telah menyediakan tiga pusat vaksinasi industri (PPVIN) untuk industri perladangan di Sarawak dan Selangor.

“Lebih 10,500 pekerja akan divaksin di pusat-pusat ini. Kami juga berusaha menyediakan lebih banyak pusat vaksinasi dalam operasi kami di seluruh negara,” katanya.

Menurut SD Plantation, prestasi memberangsangkan sepanjang suku kedua menyumbang PBIT sebanyak RM1.73 bilion dan untung bersih berjumlah RM1.18 bilion untuk separuh pertama 2021 berakhir 30 Jun lalu, peningkatan 45 peratus dan 39 peratus masing-masing berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, PBIT untuk segmen huluannya meningkat lebih sekali ganda kepada RM1.33 bilion dalam separuh pertama 2021 berbanding RM604 juta yang dicatatkan tahun lalu.

“Ia berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit (PK) yang lebih tinggi pada purata RM3,422 dan RM2,312 setiap tan metrik masing-masing.

“Tambahan lagi, pengeluaran buah tandan segar (FFB) kumpulan meningkat dua peratus tahun ke tahun, didorong pertumbuhan pengeluaran dalam operasi Indonesia,” katanya.

Segmen hiliran kumpulan itu melalui Sime Darby Oils juga mencatatkan PBIT lebih sekali ganda kepada RM253 juta pada separuh pertama 2021 berbanding RM113 juta pada tempoh sama tahun lalu, sebahagian besarnya disumbang oleh peningkatan jumlah jualan dan margin di Asia Pasifik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN