PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) melepaskan 105.6 juta unit pelaburan Tranche 1 dalam debentur boleh tukar wajib (CCD) yang diterbitkan anak syarikat GMR Energy Limited (GEL), GMR Bajoli Holi Hydropower Private Limited (GBHH) yang berpangkalan di India.
Menurut maklumannya kepada Bursa Malaysia, langkah nyahlabur itu dibuat melalui anak syarikat milik penuhnya, TNB Topaz Energy Sdn. Bhd. (TNBTE) melibatkan nilai keseluruhan sebanyak 1.18 bilion rupee (RM67.04 juta).
“Pada 5 April 2019, TNBTE melanggan pelaburan Tranche 1 CCD tersebut pada nilai 1.05 bilion rupee (RM62.36 juta). Projek tersebut dijangka memulakan operasi komersialnya pada Oktober 2019 namun ditangguhkan disebabkan situasi yang tidak dijangka.
“Berikutan itu, TNBTE tidak meneruskan langganan Tranche 2 pelaburan CCD itu bernilai 1.2 bilion rupee (RM68.25 juta), yang sepatutnya pada September 2019,” katanya.
Sehubungan itu, menurut TNB, nyahlabur tersebut melibatkan TNBTE dengan GMR Infrastructure Limited (GIL), syarikat induk kepada GEL untuk pembelian pelaburan CCD tersebut.
Katanya, nyahlabur TNBTE terhadap pelaburan CCD itu didorong strategi TNB untuk memperkemas portfolio antarabangsanya dengan menarik tumpuan dari India dan mengalihnya kepada sasaran pertumbuhan TNB di pasaran seperti United Kingdom (UK), Eropah dan Asia Tenggara.
Tambahan lagi, katanya, nyahlabur tersebut juga konsisten dengan insiatif TNB untuk meneroka pilihan pengewangan asetnya di India dan pasaran bukan tumpuan lain.
“Nyahlabur itu tidak akan memberi apa-apa kesan kepada modal saham, pegangan pemegang saham penting dan selanjutnya dijangka tidak memberi kesan material kepada aset bersih dan penggearan TNB.
“Tiada pengarah atau pemegang saham utama TNB atau individu berkaitan dengannya mempunyai kepentingan, secara langsung atau tidak langsung, dengan penyahlaburan itu,” katanya. – UTUSAN









