Teleport bakal ambil alih Delivereat pada AS$9.8 juta - Utusan Malaysia

Teleport bakal ambil alih Delivereat pada AS$9.8 juta

KERJASAMA itu memperkukuhkan rancangan AirAsia Digital untuk menyokong rantaian logistik secara menyeluruh. - GAMBAR/AIRASIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Cabang logistik AirAsia Digital, Teleport telah menandatangani perjanjian untuk memperoleh platform perkhidmatan penghantaran makanan dalam talian, Delivereat pada harga AS$9.8 juta (RM41.52 juta).

Pengambilalihan itu meletakkan nilai semasa Teleport pada AS$300 juta (RM1.27 bilion) dan ia turut menerima pelabur-pelabur utama termasuk firma modal teroka Gobi Partners.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan kerjasama itu kerana ia menyokong strategi syarikat untuk terus berkhidmat kepada semua dan menjadi syarikat penghantaran dengan nilai terbaik di ASEAN, di daratan dan udara.

Pada masa yang sama katanya, kerjasama itu memperkukuhkan rancangan AirAsia Digital untuk menyokong rantaian logistik secara menyeluruh, meliputi proses penghantaran dari peringkat pertama hingga akhir, serta menyediakan ekosistem digital yang lengkap.

Beliau berkata, pengambilalihan itu tepat pada masanya kerana syarikat telah melancarkan perkhidmatan airasia food di Pulau Pinang pada April lalu, yang juga merupakan tempat kelahiran Delivereat.

“Penggabungan Delivereat dengan Teleport juga dapat mendorong pertumbuhan perkhidmatan penghantaran yang cepat dan berpatutan di pasaran-pasaran utama kami yang menyaksikan peningkatan berterusan dalam sektor e-dagang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Esekutif Teleport, Pete Chareonwongsak berkata, syarikat adalah satu-satunya penyedia perkhidmatan penghantaran menyeluruh yang memiliki syarikat penerbangan.

“Inilah sebabnya kami melabur untuk menggabungkan ekosistem keupayaan perkhidmatan penghantaran supaya kami dapat memadankan perkhidmatan berdasarkan permintaan kurier pada hari yang sama, sama ada di dalam negeri atau luar negara.

“Usaha ini juga akan menyokong penyedia tempatan, memberikan nilai dan pilihan terbaik kepada pengguna dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada kami dan rakan penghantar,” katanya.

Beliau berkata, peluang untuk mengembangkan ekosistem logistik unik bersama Delivereat, yang telah meningkatkan rangkaian penghantaran secara meluas dan berdaya saing selama sembilan tahun, akan membantu Teleport berkembang secepat mungkin, bermula dengan semua bandar utama di Malaysia, termasuk Pulau Pinang, Lembah Klang dan ASEAN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN