PETALING JAYA: Kajian Sentimen Pengguna Separuh Kedua (H2) 2021 oleh PropertyGuru mendapati sebanyak 67 peratus responden memilih untuk menangguhkan keputusan memiliki hartanah kepada satu hingga lima tahun lagi disebabkan terus berdepan cabaran dalam tempoh pandemik ini.
Pengurus Negara, PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, hasil kajian adalah jelas bahawa pandemik telah mewujudkan peluang dan kesukaran bagi kebanyakan rakyat Malaysia yang ingin membeli rumah namun keinginan untuk memiliki rumah tetap utuh.
“Ini terbukti apabila empat daripada lima orang berhasrat untuk membeli hartanah di Malaysia pada masa hadapan.
“Pencari rumah di Malaysia juga menyuarakan ketidakmampuan mereka untuk membayar wang pendahuluan dan ketidakstabilan pekerjaan atau gaji sebagai dua kekangan utama mereka dalam pengambilan pinjaman perumahan pada H2 2021,” jelasnya dalam kenyataan.
Kajian juga mendapati sebanyak 73 peratus rakyat Malaysia berhasrat untuk mengubahsuai kediaman mereka manakala 35 peratus mahu memiliki atau berpindah dari lokasi semasa setelah menghabiskan lebih banyak masa di rumah ketika pandemik ini.
Pandemik ini telah mempengaruhi tanggapan rakyat Malaysia tentang ruang kediaman kerana 77 peratus responden kini menganggap hartanah baharu perlu mempunyai ruang tambahan untuk dijadikan pejabat.
Pertambahan hasrat pemilikan atau pemindahan rumah kepada hartanah yang dapat memenuhi keperluan mereka adalah sangat tinggi terutamanya dalam kalangan penyewa (74 peratus), individu yang tinggal bersama ibu bapa (63 peratus), dan kumpulan berpendapatan rendah (50 peratus).
Menurut Sheldon, Malaysia telah melalui pelbagai bentuk sekatan pergerakan sejak 17 bulan lalu dan masa yang dihabiskan di rumah ini telah membuatkan lebih ramai orang menyedari tentang kepentingan dan faedah memiliki ruang peribadi sendiri, terutamanya bagi mereka yang bekerja secara jarak jauh.
“Kesan pandemik dari segi bagaimana orang merancang kehidupan di rumah lebih terserlah dalam kalangan anak muda Malaysia.
“Golongan berpendapatan rendah dan mereka yang masih tinggal bersama ibu bapa yang memikirkan ruang peribadi sangat penting seterusnya menjadi sebab utama mahu memiliki rumah baharu,” katanya.
Dalam kajian tersebut, keperluan untuk lebih banyak ruang peribadi menjadi faktor ketiga tertinggi yang menyumbang kepada keinginan membeli hartanah dengan 26 peratus, selain faktor utama lain iaitu pelaburan (43 peratus) dan peluang menggunakan kelebihan kadar faedah rendah yang tersedia sekarang (27 peratus).
Kadar faedah dan prospek harga yang memberangsangkan serta kepuasan harta tanah semasa yang tinggi telah meningkatkan kajian keseluruhan Indeks Sentimen daripada 42 mata pada H1 2021 kepada 45 pada H2 2021.
Sebaliknya, sentimen rakyat Malaysia terhadap iklim semasa harta tanah telah menurun daripada 35 mata pada H1 2021 kepada 32 pada H2 2021.
Sementara itu, rakyat Malaysia juga percaya bahawa insentif kewangan dari pemaju hartanah seperti diskaun atau pulangan tunai (84 peratus), pakej dan skim pembelian (66 peratus), serta baucar atau hadiah (38 peratus) boleh membantu untuk mendorong keputusan pembelian rumah pada masa hadapan. – UTUSAN










