Takaful IKHLAS beri sinar - Utusan Malaysia

Takaful IKHLAS beri sinar

Takaful IKHLAS juga sedang giat menambah baik urusan khidmat pelanggan untuk memastikan para pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. - GAMBAR/TAKAFUL IKHLAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Mendapat perkhabaran menghidapi penyakit kanser sudah tentu meruntun emosi pesakit dan juga keluarga.

Malah, untuk ‘bebas’ daripada penyakit tersebut memerlukan kos rawatan yang tinggi sekali gus menambah penderitaan yang ditanggung.

Peka dengan apa yang akan dilalui oleh pesakit kanser dan keluarga, Takaful IKHLAS melancarkan Cancer Rider bagi memberi sinar baharu kepada pesakit ketika dan selepas rawatan.
Ikuti temu bual wartawan, NURFARAHIN HUSSIN bersama Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Berhad, NOR AZMAN ZAINAL mengenai pelan tambahan terbaharu itu yang dijalankan secara maya, baru-baru ini.

NOR AZMAN ZAINAL

UTUSAN: Baru-baru ini Takaful IKHLAS telah melancarkan Cancer Rider. Boleh Encik Nor Azman kongsikan latar belakang pelan ini?
NOR AZMAN: Seperti yang kita sedia maklum, kanser merupakan salah satu penyakit kronik yang digeruni masyarakat.

Peka dengan peningkatan jumlah kes penyakit kanser dan juga kos rawatannya yang agak tinggi, Takaful IKHLAS telah melancarkan Cancer Rider pada April lalu untuk melindungi peserta daripada bebanan kewangan sekiranya didiagnos dengan kanser.

Cancer Rider direka khas dengan mengambil kira keperluan kos perubatan dan kewangan pesakit kanser dan keluarga mereka. Ia merupakan manfaat perlindungan tambahan kepada pelan perlindungan sedia ada kami iaitu IKHLAS Bersama. Cancer Rider ini ditawarkan kepada individu berusia 30 hari sehingga 60 tahun dengan amaun perlindungan rider sehingga RM1.5 juta.

Sebelum kita berbincang lebih lanjut, boleh terangkan apakah sebenarnya Rider?
Rider adalah manfaat perlindungan tambahan yang diambil bersama perlindungan asas yang boleh dipilih mengikut kehendak dan kesesuaian para peserta takaful.

Penambahan rider ke atas pelan perlindungan asas akan menjadikan pelan perlindungan anda dan insan tersayang lebih komprehensif.

Contoh rider yang paling kerap ditambah adalah perlindungan terhadap 36 penyakit kritikal seperti kanser, jantung, strok dan lain-lain.

Apakah keistimewaan dan manfaat pelan Cancer Rider?
Seperti yang kita sedia maklum, kanser merupakan salah satu penyakit yang memerlukan rawatan khas dan teliti. Rawatan bagi pesakit kanser pula adalah khusus dan kos rawatan-rawatan ini adalah tinggi serta boleh membebankan kewangan bukan sahaja pesakit, tetapi seisi keluarga.

Antara manfaat perlindungannya adalah termasuk pemberian pampasan sebanyak 30 peratus daripada amaun perlindungan rider sekiranya peserta didiagnosis dengan kanser tahap awal. Ini terpakai untuk lima jenis kanser seperti karsinoma in situ (carcinoma in situ), leukemia limfositik kronik awal, kanser prostat awal, kanser tiroid awal dan kanser pundi kencing awal.

Selain itu, pampasan sebanyak 100 peratus daripada amaun perlindungan rider pula akan diberikan sekiranya peserta didiagnosis dengan kanser tahap akhir.

Dengan Cancer Rider, peserta juga akan diberikan manfaat elaun hospice care sehingga RM10,000. Ini merupakan manfaat elaun hospice care yang pertama diperkenalkan di Malaysia. Cancer Rider juga menyediakan manfaat elaun rawatan sebanyak RM100 sehari, atau sehingga RM10,000 ketika pesakit menjalani rawatan seperti Kemoterapi, Radioterapi, Imunoterapi dan pembedahan pasca kanser.

Seperti yang dimaklumkan, Cancer Rider merupakan manfaat tambahan kepada pelan perlindungan IKHLAS Bersama. Boleh terangkan mengenai produk IKHLAS Bersama?
IKHLAS Bersama adalah pelan perlindungan komprehensif dengan kadar sumbangan mampu milik yang sesuai untuk setiap lapisan masyarakat yang berumur dari 30 hari hingga ke 70 tahun.

IKHLAS Bersama juga menawarkan tempoh perlindungan yang fleksibel. Jadi, peserta boleh tetapkan tempoh perlindungan mengikut kesesuaian diri. Selain itu, IKHLAS Bersama juga menyediakan bayaran segera sebanyak 10 peratus daripada amaun perlindungan asas atau sehingga RM20,000 kepada waris apabila peserta meninggal dunia.
Selain Cancer Rider, IKHLAS Bersama turut didatangi dengan 14 rider atau manfaat tambahan lain yang boleh dipilih dan antaranya adalah perlindungan penyakit kritikal, hilang upaya menyeluruh dan kekal serta kemasukan ke hospital untuk menjadikan pelan anda lebih lengkap.

Dengan situasi pandemik Covid-19 di Malaysia, apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Takaful IKHLAS untuk memudahkan para pelanggan?
Selaras dengan matlamat kami untuk menyediakan perkhidmatan yang efisien, mudah dan pantas kepada orang ramai, Takaful IKHLAS telah mempertingkatkan keupayaan platform-platform digital kami bagi memudahkan urus niaga para pelanggan, wakil perunding Takaful dan rakan strategi kami.

Takaful IKHLAS juga sedang giat menambah baik urusan khidmat pelanggan untuk memastikan para pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan. Para pelanggan boleh menyemak butiran sijil perlindungan mereka melalui portal pelanggan, Online Customer Account (OCA) kami. Mereka tidak perlu lagi berkunjung ke pejabat cawangan Takaful IKHLAS untuk mendapatkan informasi dengan cepat.

Sebagai penutup, apakah pesanan Encik Nor Azman kepada masyarakat?
Saya berharap agar masyarakat mengambil berat tentang kepentingan perlindungan takaful ini untuk diri sendiri mahupun keluarga lebih-lebih lagi di musim pandemik ini. Jangan kita mengambil remeh kepentingan takaful dan lebih bersedia untuk hari-hari yang mendatang.

Takaful IKHLAS berharap, dengan Cancer Rider ini, ianya dapat membantu masyarakat untuk lebih bersedia dan dilindungi sekiranya didiagnosis dengan penyakit kanser kerana pelan ini sememangnya direka khas untuk kesinambungan kehidupan penghidap kanser. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN