PETALING JAYA: Surina Shukri melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) berkuat kuasa 31 Ogos ini.
Keputusan itu dibuat kerana Surina mahu menumpukan perhatian kepada perkara-perkara lain yang menarik minat beliau.
Surina berkata, beliau berbesar hati dapat menerajui MDEC dan ekonomi digital negara ke hadapan menerusi perubahan yang tidak dijangka dan cabaran yang signifikan sejak 16 Januari 2019.
“Saya amat berbangga dengan apa yang telah dicapai oleh MDEC ketika ini, dengan memfokus kepada pengukuhan Malaysia yang tercinta ini sebagai Nadi Digital ASEAN.
“Saya yakin pasukan MDEC akan terus melakar kejayaan di masa hadapan untuk melaksanakan mandat yang telah diamanahkan demi rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan.
Sepanjang menerajui MDEC, beliau telah dinamakan sebagai seorang daripada figura berpengaruh dalam senarai World’s 50 Most Influential People Revolutionising Governance in the Agile 50 oleh Apolitical and the World Economic Forum’s Global Future Council on Agile Governance pada 2020.
Surina telah mengawal selia kejayaan misi Reinvent dan menerusi pelaksanaannya, menjadikan MDEC kini sebuah agensi yang cekap, efisien dan profesional serta beroperasi dengan penuh integriti, menyampaikan inisiatif berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada rakyat, perniagaan dan pelabur.
Beliau juga merupakan penyumbang utama dalam pembentukan agenda negara untuk digital dan teknologi, sejajar dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital atau MyDIGITAL dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara.
Sementara itu, Pengerusi MDEC, Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff bagi pihak Lembaga Pengarah MDEC merakamkan penghargaan kepada Surina di atas sumbangan beliau dalam menjayakan misi Reinvent.
“Kami juga berterima kasih atas komitmen beliau yang tidak pernah berbelah bahagi terhadap agenda transformasi negara,” ujarnya.
Majlis Operasi MDEC (MOC) akan terus beroperasi dan memastikan peralihan yang lancar sehingga pengganti beliau diumumkan. – UTUSAN










