Straits dapat kelulusan bangunkan hab STS terbesar Asia di Labuan  - Utusan Malaysia

Straits dapat kelulusan bangunkan hab STS terbesar Asia di Labuan 

Lakaran artis Hab Pemindahan Tenaga Kapal ke Kapal (STS) luar pesisir bersepadu yang bakal dibangunkan Victoria STS di Labuan, Sabah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Straits Inter Logistics Berhad (Straits) mengumumkan Victoria STS (Labuan) Sdn. Bhd. (Victoria STS) telah mendapat kelulusan Jabatan Laut Malaysia (JLM) untuk membangun Hab Pemindahan Tenaga Kapal ke Kapal (STS) luar pesisir yang bersepadu.

Syarikat itu telah menggerakkan sumber dan infrastrukturnya sebagai persediaan untuk memulakan operasi Hab Pemindahan Tenaga STS itu pada suku keempat tahun ini.

Victoria STS adalah anak syarikat milik Fajar Maritime and Logistics Sdn. Bhd. dengan penguasaan sebanyak 70 peratus, dengan Strait pula mempunyai penguasaan sebanyak 60 peratus dalam Fajar Maritime.

Mengulas lanjut perkara itu, Pengarah Urusan Straits Group, Datuk Sri Ron Ho Kam Choy berkata, sejak pengumuman mengenai Hab Pemindahan Tenaga STS pada 12 Julai lalu, pihaknya telah menerima banyak pertanyaan daripada entiti antarabangsa dan tempatan terkemuka yang berminat untuk bekerjasama bagi membangunkan hab berkenaan.

“Kami sedang mengadakan perbincangan dengan banyak pihak sebagai persiapan untuk projek itu dan kami bersedia untuk memulakannya dalam beberapa bulan akan datang.

“Entiti lain dalam Kumpulan Straits juga akan mendapat manfaat daripada perniagaan projek ini,” katanya dalam kenyataan.

Victoria STS pada 30 Julai lalu telah mendapat persetujuan daripada JLM untuk Kajian Penilaian Risiko (MRA).

Penilaian itu dilakukan sebagai sebahagian daripada syarat yang harus dipatuhi sebelum 8 Januari 2022 untuk membangunkan Hab Pemindahan Tenaga STS itu di dalam kawasan pelabuhan Teluk Victoria.

Syarikat itu berharap untuk memulakan dan menyelesaikan pembangunan Hab Pemindahan Tenaga STS yang merangkumi penyediaan kemudahan dan peralatan utama seperti kapal tunda, fender pneumatik, peralatan kriogenik gas asli cecair (LNG) dan sistem tambatan titik tunggal pada suku keempat tahun ini.

Seperti yang dimaklumkan kepada Bursa Malaysia, JLM pada 12 Julai lalu telah memberikan persetujuan untuk syarikat membangunkan STS terbabit.

Hab STS itu akan menjadi projek tenaga perdana Straits yang akan terletak di dalam had pelabuhan kawasan perairan dalam Teluk Victoria merangkumi 3,309 hektar yang menyokong enam dermaga STS awal dengan kedalaman air yang selamat hingga 30 meter.

Pembangunan itu akan memajukan pengenalan kemudahan pemindahan tenaga pelbagai fungsi canggih yang dapat menampung kapal pengangkut LNG hingga ukuran Q-Max dan kapal minyak mentah bersaiz besar (VLCC).

Teluk Victoria terletak secara strategik di sepanjang laluan perdagangan antarabangsa dan perdagangan tenaga.

Rancangan Straits untuk membangunkan Hab STS itu sebagai salah satu hab pemindahan tenaga LNG dan gas petroleum cecair (LPG) luar pesisir terbesar di Asia.

Hab tersebut juga terletak secara strategik di sekitar Labuan Liberty Port yang diurus dan dikendalikan oleh Megah Port Management Sdn. Bhd., syarikat yang dimiliki 51 peratus oleh Straits. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN