Sime Darby rekod untung bersih RM1.43 bilion  - Utusan Malaysia

Sime Darby rekod untung bersih RM1.43 bilion 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Untung bersih Sime Darby Berhad melonjak 73.8 peratus kepada RM1.43 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021 berbanding RM820 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Prestasi memberangsangkan itu berikutan pendapatan kumpulan meningkat 20 peratus kepada RM44.5 bilion dan dipacu segmen permotoran di kebanyakan pasaran terutama China.

Untung bersih suku keempat berakhir 30 Jun 2021 kumpulan meningkat 19 peratus kepada RM211 juta berbanding RM177 juta bagi tempoh sama tahun lalu menakala pendapatan melonjak 29 peratus kepada RM11.3 bilion berbanding RM8.8 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, keuntungan meningkat daripada RM618 juta bagi tahun kewangan 2018 kepada lebih RM1.4 bilion tahun ini, pada tahun pertama langkah pemisah dilaksanakan.

“Secara dasarnya, kami telah menggandakan pendapatan kami dalam tempoh lebih empat tahun. Ini adalah hasil kejayaan pelaksanaan Pelan Penciptaan Nilai 5 Tahun kami yang dibangunkan selepas langkah penyusunan itu,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, permintaan untuk produk dan perkhidmatan kami tetap tinggi walaupun berdepan cabaran Covid-19 hampir dua tahun ini.

“Sime Darby adalah syarikat multinasional Malaysia sejati dan berkembang luas di rantau Asia Pasifik. Hari ini, operasi kami di luar Malaysia menyumbang sehingga 85 peratus keuntungan teras Kumpulan.

“Prestasi segmen permotoran kami pada tahun lalu amat luar biasa. Permintaan untuk BMW dan kereta mewah kami sangat tinggi terutamanya di China,” ujarnya.

Kumpulan terus melaksanakan pelan pertumbuhannya yang menyumbang sebanyak RM2.7 bilion kepada pendapatan tahun kewangan 2021.

Dalam tempoh itu, lebih banyak galeri pameran BMW dan Volvo dibuka di China, sementara Ramsay Sime Darby Health Care mengambil alih Manipal Hospitals di Klang, yang merupakan rangkaian hospital serantau ketujuh kumpulan.

Sime Darby mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 8 sen sesaham dan dividen khas 1 sen sesaham untuk suku keempat tahun kewangan 2021, menjadikan jumlah bayaran dividen bagi tahun semasa kepada 15 sen sesaham, merangkumi bayaran RM1.02 bilion atau lebih 70 peratus daripada keuntungan bersih.

Jeffri turut menjangkakan tahun kewangan 2022 akan menjadi tahun yang mencabar berikutan kesan Covid-19 yang di luar jangka.

“Bagaimanapun, kami yakin kedudukan kewangan yang kukuh dan operasi yang pelbagai akan membantu kumpulan mendepani cabaran pandemik sekali gus menempatkan kita dalam kedudukan yang baik untuk pertumbuhan prospek dan sentimen perniagaan,” jelasnya. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN