PETALING JAYA: SEDANIA Innovator Berhad (SEDANIA) mengumumkan, syarikat bersekutunya, Esports Ptt Ltd (ESPL) berjaya memperoleh pendaftaran cap dagang di negara Kesatuan Eropah (EU).
Menurut SEDANIA, ia sebagai langkah penting dalam melindungi pendaftaran harta intelek di semua 27 negara anggota EU.
Malah katanya, kejayaan itu juga mengukuhkan kedudukan ESPL sebagai syarikat ulung dalam ekosistem esports di rantau berkenaan.
Katanya, rangkaian ESPL sebelum ini memaklumkan, ia mempunyai akses kepada lebih 91 juta penonton global termasuk rakan kongsi strategik di 16 negara.
“Setakat ini, SEDANIA memaklumkan rangkaian ESPL ini meliputi lima benua termasuk Asia Barat dan Afrika Utara (MENA), Eropah, Asia Selatan, Amerika Latin dan Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas perkara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan SEDANIA, Datuk Azrin Mohd. Noor berkata, pendaftaran tanda dagangan itu merupakan sebahagian daripada langkah strategik syarikat untuk mendominasi pengembangan pasaran.
“Dengan ini, ESPL dipercayai dapat mengukuhkan penampilan komersialnya di negara-negara EU,” katanya.
SEDANIA berkata, pakar-pakar industri telah meramalkan bahawa esports dijangka terus berkembang pesat dalam tempoh lima tahun akan datang, dan dijangka mencapai pendapatan AS$1.6 bilion (RM6.75 bilion) menjelang 2023.
Menurut laporan Newzoo, jelasnya, penonton esports akan berkembang kepada lebih 645 juta di seluruh dunia menjelang 2023.
“Angka tersebut akan terus berkembang. Usaha kami dalam mendapatkan pendaftaran tanda dagangan di semua negara EU adalah salah satu langkah strategik utama dalam
melindungi jenama global kami di peringkat antarabangsa.
“Adalah penting bagi ESPL untuk menonjolkan diri secara unik dan pada masa yang sama melindungi kepentingan bilangan pengguna yang semakin meningkat. Dengan ini, kami yakin bahawa ESPL akan terus mengembangkan pengenalan jenamanya ke hala tuju yang baik,” kata Azrin.
SEDANIA adalah sebuah syarikat induk pelaburan Malaysia yang tersenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 2015.
Dipandu oleh moto ‘Inovasi yang Memperkasakan Kehidupan secara Mampan’, SEDANIA didorong oleh misinya untuk memajukan masyarakat dan ekosistem yang mereka layani. – UTUSAN










