Saran kembalikan GST sebagai strategi fiskal negara - Utusan Malaysia

Saran kembalikan GST sebagai strategi fiskal negara

Cadangan reformasi percukaian lain yang dicadangkan seperti pengenalan cukai karbon. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) menyarankan supaya Malaysia memperkenalkan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebagai sebahagian daripada strategi fiskal jangka sederhana negara.

Pengarah Cawangan Pengajian Negara, Jabatan Ekonomi OECD, Alvaro Perreira berkata, langkah itu bagaimanapun tidak perlu dilaksanakan segera sebaliknya dipertimbang sebagai strategi jangka sederhana dan diimplementasi apabila masa yang sesuai tiba kelak.

Kata beliau, ia sebagai persediaan untuk negara menghadapi cabaran akibat penuaan penduduk dan banyak lagi pilihan lain boleh dilaksanakan kerajaan bagi menanganinya.

“Kami tidak fikir ini masa yang tepat untuk melaksanakannya.

“Ia sebahagian daripada kemungkinan. Kemungkinan lain adalah seperti yang dilakukan negara lain, contohnya meningkatkan umur persaraan dan perkara lain yang boleh meningkatkan prospek jangka panjang mereka,” katanya dalam sidang akhbar pelancaran Laporan Tinjauan Ekonomi Malaysia 2021 (ES 2021) secara maya semalam.

Turut hadir dalam sidang akhbar itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Setiausaha Agung OECD, Mathias Cormann.

Perkara tersebut turut dipersetujui Mustapa, termasuk cadangan reformasi percukaian lain yang dicadangkan seperti pengenalan cukai karbon, namun pelbagai aspek perlu dipertimbangkan termasuk waktu yang sesuai untuk melaksanakannya.

Mustapa berkata, reformasi ekonomi adalah penting memandangkan Malaysia mengamalkan ekonomi terbuka dan perlu sentiasa mengambil kira persaingan serantau.

Kata beliau, pelbagai langkah reformasi lagi akan diumumkan kerajaan dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kelak.

“Kerajaan sudah pun mula melihat beberapa langkah dalam reformasi percukaian. Nisbah cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia agak rendah berbanding negara lain jadi kami perlu memastikan kita mempelbagaikan (cukai).

“Ia sedang dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan, beberapa cadangan sudah diterima. Ada tekanan untuk kerajaan melihat semula cukai korporat ketika negara jiran sudah mengurangkan kadarnya,” katanya.

ES 2021 merupakan edisi ketiga laporan tinjauan ekonomi oleh OECD untuk Malaysia yang dilakukan secara dwitahunan.

Selain isu cukai, turut dibangkitkan isu berkenaan sokongan dasar fiskal ketika pandemik, pengurangan hutang awam dan liabiliti luar jangka, pemberian bantuan bersasar serta liputan insurans bencana kerja dan faedah pengangguran untuk mereka yang bekerja sendiri.

OECD turut menekankan kepentingan peningkatan produktiviti buruh melalui reformasi struktur dan persekitaran perniagaan, pendigitalan dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta bantuan kewangan untuk masa hadapan pekerjaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN