Sabah, Kelantan dahului migrasi bandar ke luar bandar - Utusan Malaysia

Sabah, Kelantan dahului migrasi bandar ke luar bandar

PENULARAN wabak Covid-19 dengan penutupan operasi perniagaan serta aktiviti pelancongan mempengaruhi penduduk untuk berhijrah ke kawasan luar bandar. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar migrasi Malaysia bagi tempoh 2019 hingga 2020 menurun 0.1 mata peratus kepada 1.5 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, bilangan migran menurun sebanyak 40,000 orang kepada 484,100 orang berbanding 524,100 orang pada 2018.

Kata beliau, migrasi dalam negeri pada tahun lalu merekodkan penurunan 2.4 mata peratus berbanding 60.8 peratus pada 2018 manakala migrasi antara negeri menunjukkan peningkatan 2.7 mata peratus kepada 31.2 peratus pada tahun tersebut.

Turut direkodkan, komposisi migrasi antarabangsa dari luar negara ke Malaysia pada 10.4 peratus, menyusut 0.3 mata peratus berbanding 10.7 peratus pada 2018.

“Bagi senario migrasi dalaman, penduduk bermigrasi dalam negeri lebih tinggi daripada penduduk bermigrasi antara negeri.

“Migrasi dalam negeri menunjukkan 65.2 peratus daripada keseluruhan jumlah migrasi dalaman manakala baki 34.8 peratus adalah migrasi antara negeri.

“Berdasarkan statistik migrasi dalam negeri mendapati Sabah (74.4 peratus), Johor (65.3 peratus) dan Sarawak (60.8 peratus) adalah tiga negeri yang merekodkan peratusan migrasi dalam negeri tertinggi,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut Mohd. Uzir, ketika negeri lain mencatatkan pergerakan lebih tinggi dari bandar ke bandar, Sabah dan Kelantan mempunyai pergerakan penduduk lebih tinggi dari bandar ke luar bandar, masing-masing pada 49.3 peratus dan 34.6 peratus.

Jelas beliau, keadaan ekonomi semasa, peluang pekerjaan dan isu kesihatan berikutan penularan wabak Covid-19 dengan penutupan operasi perniagaan serta aktiviti pelancongan mempengaruhi penduduk untuk berhijrah ke kawasan luar bandar.

“Inisiatif kerajaan menubuhkan Koridor Pembangunan Ekonomi Baharu iaitu Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC) telah menjadi faktor penarik penduduk untuk berhijrah masuk ke kawasan yang menerima suntikan pelaburan dan pelan pembangunan kerajaan,” katanya.

Tambah Mohd. Uzir, trend migrasi pada tahun lalu dipengaruhi pelbagai tahap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

“Pandemik Covid-19 mula dikesan di negara ini pada 24 Januari 2020 dan kerajaan telah melaksanakan PKP bermula Mac 2020 bagi mengawal penularan pandemik ini. Perjalanan rentas sempadan negeri dan daerah tidak dibenarkan sehingga Mei 2020.

“Berikutan pengurangan bilangan kes baharu harian Covid-19, pada 10 Jun 2020, kerajaan telah melaksanakan PKP Pemulihan dengan membenarkan perjalanan rentas negeri dan daerah sehingga Disember 2020,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN