PETALING JAYA: Malaysia Digital Economy Malaysia (MDEC) melantik Romainor Ismail sebagai Pengarah Perolehannya.
Menurut MDEC, Romainor mempunyai pengalaman selama 23 tahun dalam perolehan, penyumberan, pengurusan kontrak dan pengurusan vendor di MNC seperti Maybank dan Celcom.
Beliau memulakan kerjayanya sebagai Pengatur Cara di DIGIERA pada 1999 dan kemudian berkhidmat dengan Maybank sebagai Ketua Pengurusan Vendor pada 2012, seterusnya menjadi Ketua Pengurusan Penyumberan & Kategori (Projek) di Celcom Axiata pada awal tahun ini.
“Beliau akan bertanggungjawab dalam mengetuai, mengarah dan mengkoordinasi semua aspek aktiviti perolehan MDEC bagi memastikan pemerolehan barangan dan perkhidmatan dilaksanakan dengan kos yang berkesan dan berkualiti tinggi.
“Romainor juga ditugaskan untuk menguruskan kontrak, penilaian pilihan bekalan dan memastikan ketepatan rekod,” katanya dalam kenyataan.
MDEC berkata, Romainor pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kepujian) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ijazah Teknologi Maklumat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), akan melapor kepada Ketua Pegawai Transformasi, Mohd. Afdal Mohd. Nayan.
Beliau juga akan bekerjasama dengan pemegang taruh dalaman untuk memahami keperluan perniagaan, pembangunan strategi perolehan dan melaksanakan inisiatif untuk memberi pulangan yang terbaik kepada pemegang taruh, katanya.
Sementara itu, Pengerusi MDEC, Datuk Wira Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, pelantikan Romainor adalah bukti komitmen berterusan MDEC menarik bakat terbaik dalam industri dan memperoleh pemimpin terbaik dalam pasukannya.
“Pengalaman dan kemahiran beliau dalam membangun, melaksana dan mengurus perancangan perolehan tahunan amat bersesuaian dengan usaha MDEC untuk menuju ke arah Malaysia 5.0, yang membolehkan negara terintegrasi dengan teknologi, menyediakan peluang digital yang adil kepada rakyat dan perniagaan,” katanya. – UTUSAN










