Reset model ekonomi negara  - Utusan Malaysia

Reset model ekonomi negara 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keutamaan kerajaan yang akan dilantik kelak adalah untuk memulihkan aktiviti ekonomi supaya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dapat dibaiki sekali gus menambah baik kedudukan Malaysia dalam penarafan antarabangsa.

Profesor Kehormat di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Profesor Datuk Dr. Madeline Berma berkata, untuk mencapai perkara tersebut, aktiviti pengeluaran dan penggunaan dalam negara perlu dipertingkat.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya sesiapa yang memegang tampuk pemerintahan negara tidak lagi melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara pukul rata, sebaliknya lebih bersasar dengan membenarkan kilang atau perniagaan yang mempunyai lebih 80 peratus pekerja dengan vaksinasi lengkap untuk beroperasi.

“Sekatan pergerakan ialah pilihan terbaik dari segi kesihatan tetapi dari segi ekonomi, ia terburuk. Kita perlu cari keseimbangan antara kedua-dua perkara ini.

“Contohnya di Bandar Baru Bangi, ada perniagaan yang pekerjanya telah menerima vaksinasi penuh, mengapa halang mereka berniaga? Mengapa tutup ekonomi di seluruh negeri Selangor?

“Kita kerugian RM2.4 bilion setiap hari apabila sekatan pergerakan dilaksanakan. Untuk meningkatkan KDNK, kita perlu tingkatkan pengeluaran dengan membenarkan perniagaan atau kilang beroperasi. Cuma, kita kenakan syarat iaitu mesti 80 peratus, atau 100 peratus lebih baik, pekerja mereka telah divaksinasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan KDNK untuk suku kedua 2021 tumbuh 16.1 peratus berbanding suku sama tahun lalu, yang sebahagian besarnya disebabkan asas rendah tahun lalu.

KDNK pada suku tersebut bagaimanapun menyusut dua peratus berbanding suku sebelumnya dan BNM menurun unjuran KDNK keseluruhan tahun ini kepada tiga hingga empat peratus berbanding unjuran asal enam hingga 7.5 peratus.

Selain itu, Madeline turut menekankan kepentingan untuk kerajaan meningkatkan penggunaan dalam negara yang merupakan komponen terbesar KDNK.

Untuk itu, kata beliau, kerajaan perlu menambah suntikan langsung dalam pembentangan Belanjawan 2022 Oktober ini supaya permintaan dalam negara dapat ditingkatkan, seiring dengan peningkatan bekalan selepas aktiviti pengeluaran dipertingkat.

Kata beliau, lapan pakej bantuan yang disediakan kerajaan sepanjang pandemik masih tidak melibatkan suntikan langsung yang mencukupi.

“Suntikan itu boleh dalam bentuk bantuan kewangan, subsidi upah atau apa sahaja bentuk, asalkan ia dapat menggalakkan rakyat berbelanja,” katanya.

Beliau menegaskan, kerajaan juga perlu merangka pelan jangka panjang dengan membetulkan semula (reset) model ekonomi negara.

“Pertama, dari segi institusi. Kita perlu galakkan persaingan yang sihat supaya harga barang dalam negara lebih kompetitif. Jangan biarkan mana-mana pihak memonopoli perniagaan.

“Kedua, model ekonomi yang berintensifkan buruh perlu diubah kepada model ekonomi yang berintensifkan teknologi dan inovasi. Ini supaya kita dapat menyediakan peluang pekerjaan yang berkualiti kepada graduan kita, bukan lagi berfokus kepada ekonomi berintensif buruh seperti perladangan dan pembinaan yang lebih mengutamakan pekerja asing,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×