PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Indonesia mengumumkan perluasan rangka kerja penyelesaian ringgit-rupiah yang berkuat kuasa hari ini.
Menurut BNM, ia merupakan sebahagian daripada usaha yang berterusan untuk meningkatkan penggunaan mata wang tempatan bagi penyelesaian perdagangan dan pelaburan langsung antara Malaysia dengan Indonesia.
Selain perdagangan, katanya, rangka kerja yang diperluaskan itu merangkumi pelaburan langsung, pendapatan dan pindahan sebagai transaksi asas yang layak.
“Rangka kerja ini juga memperluas pengguna yang layak seperti orang perseorangan dan dasar pertukaran asing tambahan yang fleksibel, misalnya keperluan dokumen yang lebih ringkas bagi memudahkan pelaksanaan rangka kerja ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rangka kerja penyelesaian ringgit-rupiah pertama kali dilancarkan pada 11 Disember 2017 selaras dengan Memorandum Persefahaman antara BNM dengan Bank Indonesia yang ditandatangani pada 23 Disember 2021.
Menurut BNM, melalui perluasan itu, pihaknya dan Bank Indonesia juga telah melantik beberapa lagi bank perdagangan yang berkelayakan di kedua-dua negara bagi menyokong pelaksanaan rangka kerja penyelesaian ringgit-rupiah yang diperluas ini.
“Secara umumnya, bank-bank yang dilantik mempunyai pengalaman dalam memudahkan kegiatan perdagangan dan pelaburan langsung antara kedua-dua negara, mempunyai jumlah pelanggan yang besar dan telah mewujudkan hubungan perniagaan yang kukuh dengan bank-bank di negara rakan yang menjalinkan persefahaman ini,” katanya.
Bank-bank Malaysia yang dilantik ialah HSBC Bank Malaysia Berhad dan MUFG Bank Malaysia Berhad sebagai tambahan kepada bank sedia ada iaitu CIMB Bank Berhad; Hong Leong Bank Berhad; Malayan Banking Berhad (Maybank); Public Bank Berhad dan RHB Bank Berhad.
Bank Indonesia yang dilantik pula ialah PT Bank HSBC Indonesia dan MUFG Bank Ltd. cawangan Jakarta sebagai tambahan kepada bank sedia ada iaitu PT Bank Rakyat Indonesia (Persero) Tbk; PT Bank Mandiri (Persero) Tbk; PT Bank Central Asia Tbk; PT Bank Negara Indonesia (Persero) Tbk; PT Bank CIMB Niaga Tbk dan Bank Maybank Indonesia Tbk. – UTUSAN










