Pulau Pinang bakal jadi hab ekosistem teknologi angkasa - Utusan Malaysia

Pulau Pinang bakal jadi hab ekosistem teknologi angkasa

Ekosistem teknologi angkasa di Pulau Pinang yang bakal diwujudkan akan turut berperanan sebagai pusat bagi syarikat dan institusi pendidikan menjalankan pembangunan dan penyelidikan dalam bidang satelit. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Angkasa-X Group merancang untuk membangunkan Pulau Pinang sebagai hab ekosistem teknologi angkasa serantau dalam usaha melonjakkan inovasi tempatan dan pemindahan teknologi selain membuka peluang pekerjaan di negara ini.

Dalam usaha merealisasikan rancangannya itu, Angkasa-X telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Silkwave Holdings Limited untuk menjalin kerjasama strategik bagi membangunkan platform satelit dan perkhidmatan satelit bersepadu Geostationary (GEO) – Low-Earth-Orbit (LEO) pertama di dunia untuk Komuniti ASEAN.

DR. SEAN SEAH

Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Angkasa-X, Dr. Sean Seah berkata, Kumpulan akan bekerjasama dengan Silkwave yang ketika ini mengendalikan dua platform GEO-satelit,   mewujudkan ekosistem teknologi angkasa di Pulau Pinang seterusnya menjadi hab pengedaran dan rantaian teknologi satelit global untuk pasaran ASEAN.

Silkwave merupakan anak syarikat CMMB Vision Holdings Limited yang didagangkan di Bursa Hong Kong.

Seah berkata, ekosistem teknologi angkasa di Pulau Pinang akan turut berperanan sebagai pusat bagi syarikat dan institusi pendidikan, menjalankan pembangunan dan penyelidikan dalam bidang berkaitan.

“Dalam usaha kami meningkatkan lagi ekosistem teknologi angkasa di Pulau Pinang, kami juga akan meminta sokongan dari Hong Kong untuk merekrut penyedia teknologi satelit global untuk menubuhkan pusat penyelidikan dan pengembangan serta penempatan di Pulau Pinang untuk akses pasaran tarif rendah ke negara-negara ASEAN,” katannya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyifatkan perkongsian itu sebagai ‘kejayaan inovatif’ untuk negeri itu dan diharapkan dapat meningkatkan lagi kehidupan rakyat negeri itu yang menjadi antara matlamat utama Pulau Pinang 2030.

Beliau berkata, kumpulan bakat telah lama menjadi pendorong utama kejayaan negeri ini dalam menarik pelaburan strategik, terutama dalam industri khusus terpilih.

“Pulau Pinang telah menarik pelaburan strategik dalam beberapa tahun terakhir, yang diterjemahkan ke dalam mewujudkan ribuan peluang pekerjaan berkualiti tinggi. Dengan usaha strategik ini, untuk mengubah Pulau Pinang menjadi hab ekosistem teknologi angkasa serantau, ia akan menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke Pulau Pinang,” katanya.

Bagi tempoh antara Januari 2019 hingga Mac 2020, Pulau Pinang dilaporkan menarik aliran masuk pelaburan dalam sektor pembuatan sebanyak RM24 bilion, di mana 90 peratus adalah daripada industri elektrik dan elektronik, peralatan dan teknologi perubatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN