PETALING JAYA: Sime Darby Plantation Berhad (SDP) telah meningkatkan jumlah pengambilan graduan bagi program Professional Training and Education for Growing Entrepreneurs (PROTÉGÉ).
Menurut syarikat perladangan itu, setakat ini ia telah menerima seramai 249 pelatih, dengan 251 lagi dijangka akan turut menyertai program tersebut pada Oktober ini.
Jelasnya, jumlah itu merekodkan pertambahan yang signifikan berbanding hanya 100 pelatih pada tahun lalu.
“Ia merupakan langkah berani SDP untuk meningkatkan bantuannya kepada graduan tempatan yang memasuki pasaran pekerjaan pada masa-masa mencabar ini,” katanya dalam kenyataan.
Pengarah Urusan Kumpulan SDP, Mohamad Helmy Othman Basha berkata, pandemik telah menghancurkan kehidupan, harapan dan impian banyak orang, termasuk graduan muda yang berusaha untuk memasuki pasaran pekerjaan pada saat peluang sangat terhad.
Beliau berkata, syarikat berusaha melakukan yang terbaik untuk memberi mereka peluang seboleh mungkin.
Pelatih PROTÉGÉ SDP berpeluang untuk meningkatkan kemahiran dan meneruskan pendidikan mereka melalui pembelajaran secara amali, sambil memperoleh upah untuk memastikan mereka mampu menjalani kehidupan sepanjang pandemik.
“Kami ingin memastikan bahawa anak didik kami mempunyai pengalaman yang lebih holistik dan komprehensif semasa mereka berkhidmat di SDP, yang akan meningkatkan pekerjaan mereka,” katanya.
PROTÉGÉ adalah inisiatif kerajaan yang dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dengan kerjasama sektor swasta, bertujuan menyediakan peluang kepada graduan tempatan mendapatkan pengalaman kerja di syarikat-syarikat besar.
SDP telah menyokong program tersebut selama lebih 12 tahun sejak ia diperkenalkan pada 2009 sebagai Program Latihan Skim 1Malaysia (SL1M).
Dari 2009 hingga 2020, SDP telah menerima 1,286 pelatih di bawah SL1M dan Program PROTÉGÉ dengan 54 peratus daripada mereka berpeluang mendapat pekerjaan.
Berdasarkan rekod SDP, kira-kira 41 peratus daripada mereka diambil bekerja oleh syarikat lain dan hanya 13 peratus kekal bersama SDP. – UTUSAN










