PETALING JAYA: Tiga bank Islam mempertingkatkan usaha mereka untuk menyediakan khidmat kepada asnaf dan komuniti yang berdepan kesan pandemik Covid-19 menerusi perluasan program iTEKAD (iTEKAD 2.0).
Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) menyertai Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dalam menawar dan memperluaskan lagi pelaksanaan program kewangan sosial yang memastikan peserta program menjana pendapatan mampan dan mempunyai daya tahan kewangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, pihaknya telah memperuntukkan RM5 juta menggunakan dana Kemudahan Perusahaan Mikro (MEF) Bank Negara Malaysia (BNM) bagi program ini.
“Dengan sasaran awal 100 usahawan mikro, seramai 98 pemilik perniagaan telah menerima kelulusan pembiayaan mikro yang berjumlah kira-kira RM1.8 juta daripada Bank Islam setakat 31 Julai 2021.
“Daripada angka berkenaan, seramai 49 usahawan asnaf menerima zakat berjumlah RM205,000 menerusi usaha sama kami dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) manakala SME Corp. menganjurkan enam sesi latihan keusahawanan dan pengurusan kewangan untuk para peserta.
“Untuk fasa seterusnya, Bank Islam akan memperluaskan akses iTEKAD ke Selangor dan Perlis menerusi kerjasama dengan Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS) dan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs Sdn. Bhd. (ATAM) yang merupakan anak syarikat Majlis Agama Islam di kedua-dua negeri berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin memberitahu, Bank Muamalat adalah pencetus trend dalam menyumbang kepada kewangan sosial Islam dan menerajui bidang tersebut dengan menyediakan penyelesaian inovatif terhadap ketidaktentuan ekonomi semasa menerusi program iTEKAD Mawaddah.
“Program iTEKAD Mawaddah adalah unik kerana ia menerapkan inovasi syariah mudarabah dua peringkat. Di bawah konsep baharu ini, Bank Muamalat akan mengumpul dana daripada para pelabur untuk melabur dalam perniagaan-perniagaan yang dimiliki individu B40 dan usahawan mikro.
“Keuntungan dan kerugian setiap perniagaan akan dikongsi oleh pelabur masing-masing. Industri sasaran di bawah program iTEKAD Mawaddah adalah dalam segmen makanan dan minuman (F&B), pertanian dan ekonomi gig.
“Usahawan yang menyertai program ini akan disediakan khidmat nasihat kewangan dan Pensijilan Halal. Bagi fasa pertama program iTEKAD Mawaddah, kami menyasarkan dana pelaburan berjumlah RM200,000 daripada pelabur terpilih yang akan memberi manfaat kepada 20 usahawan industri F&B.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd. Shariff berkata, inisiatif iTEKAD mencerminkan nilai-nilai CIMB Islamic yang berlandaskan prinsip-prinsip syariah dalam menyumbang secara positif dan membentuk impak mampan terhadap ekonomi dan komuniti tempatan, termasuk golongan B40 dan asnaf.
“Inisiatif akan datang kami iaitu Program Keusahawanan Penghantar Makanan akan meletakkan asas untuk membentuk penjanaan pendapatan yang berterusan bagi komuniti kurang bernasib baik menerusi peningkatan kemahiran, penyediaan latihan berstruktur dan peluang kerja,” jelasnya. – UTUSAN










