Produktiviti buruh meningkat 13.6 peratus - Utusan Malaysia

Produktiviti buruh meningkat 13.6 peratus

PENGOPERASIAN aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih banyak telah meningkatkan pasaran buruh tempatan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Produktiviti buruh pada suku kedua 2021 meningkat 13.6 peratus berbanding suku sama tahun lalu, sebahagian besarnya disebabkan asas rendah yang dicatatkan tahun lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, secara nilai, produktiviti yang diukur berdasarkan nilai tambah per pekerja itu meningkat kepada RM22,117 per pekerja berbanding RM19,467 per pekerja (-16.1 peratus) yang dicatatkan suku sama tahun lalu.

Walau bagaimanapun, kata beliau, secara suku ke suku nilai tersebut menurun berbanding RM22,513 per pekerja yang dicatatkan suku pertama lalu, meskipun peratus negatifnya berkurang daripada -4.6 peratus kepada -1.8 peratus.

Sementara itu, kata beliau, prestasi produktiviti buruh yang diukur mengikut nilai ditambah per jam bekerja jatuh 12.8 peratus berbanding 0.4 peratus pada suku pertama, dengan nilai sebanyak RM40.5 per jam berbanding RM40.2 per jam pada suku pertama.

Jelas beliau, penurunan produktiviti buruh pada suku tersebut berikutan peningkatan jumlah jam bekerja yang lebih tinggi berbanding kadar pertumbuhan nilai ditambah.

“Jumlah jam bekerja pada suku kedua 2021 meningkat 33.2 peratus berbanding -0.8 peratus pada suku pertama, merekodkan 8.3 bilion jam bekerja berbanding 8.5 bilion jam pada suku pertama.

“Jumlah jam bekerja pada suku ini merupakan yang kedua terendah direkodkan selepas suku kedua 2020 (6.2 bilion jam bekerja) berikutan waktu operasi perniagaan yang terhad lanjutan daripada pelaksanaan langkah kawalan yang ketat,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Mohd. Uzir, produktiviti buruh mengikut nilai ditambahn per pekerja bagi semua sektor ekonomi mencatatkan pertumbuhan dua digit pada suku ini kecuali sektor pertanian.

Ulas beliau, produktiviti buruh sektor pembinaan meningkat kepada 37.6 peratus pada suku kedua 2021 berbanding -8.2 peratus pada suku tahun sebelumnya.

“Sektor pembuatan terus kukuh pada 23.2 peratus (suku pertama 5.5 peratus) didorong oleh pertumbuhan semua subsektor kecuali subsektor minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan serta prosesan makanan.

“Pertumbuhan tertinggi produktiviti buruh di sektor ini dicatatkan oleh subsektor minuman dan produk tembakau (55.7 peratus) diikuti oleh produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (41.8 peratus) serta peralatan pengangkutan, pembuatan lain dan pembaikan (39.3 peratus).

“Pada masa sama, produktiviti buruh sektor perlombongan dan pengkuarian serta perkhidmatan masing-masing meningkat 14.1 peratus dan 11 peratus. Tiga subsektor perkhidmatan yang mencatatkan pertumbuhan ketara ialah pengangkutan dan penyimpanan (37.3 peratus); kewangan dan insurans (24.6 peratus) serta perdagangan borong dan runcit (19.4 peratus),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN