PETALING JAYA: Prestasi indeks penanda aras Bursa Malaysia, FBM KLCI akan bergantung kepada reaksi pelabur terhadap perkembangan politik negara dan trend kes jangkitan Covid-19 dalam negara.
Penganalisis ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad, Adam Mohamed Rahim berkata, indeks itu dijangka berdagang antara 1,495 mata sehingga 1,515 mata sepanjang minggu ini.
Menurut beliau, dalam kalangan ahli indeks FBM KLCI, Kuala Lumpur Kepong (KLK) mencatatkan penurunan terbanyak iaitu 3.9 peratus manakala Sime Darby Plantation merekodkan kenaikan tertinggi pada 3.4 peratus.
“Dari segi sektor pula, indeks kesihatan Bursa Malaysia menunjukkan prestasi terendah setelah turun sebanyak 0.9 peratus berikutan penurunan harga terutamanya untuk kaunter sarung tangan getah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
FBM KLCI mencatatkan penurunan 2.21 mata atau 0.15 peratus daripada 1,505.11 mata kepada 1,502.90 mata selepas dagangan ditutup semalam.
Indeks tersebut dibuka pada 1,499.92 mata pada sebelah pagi dengan mata terendah dicatat sepanjang dagangan pada 1,493.60 mata.
Sebanyak 4.88 bilion saham didagangkan sepanjang semalam bernilai RM2.37 bilion.
Sejumlah 377 kaunter mencatatkan keuntungan, 633 kaunter rugi, 421 tidak berubah dan 779 lagi tidak didagangkan.
Sementara itu, semalam negara merekodkan sebanyak 19,740 kes baharu Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 1,424,639 kes.
Menurut Adam, berita peletakan jawatan Perdana Menteri dijangka tidak begitu memberi kesan kepada prestasi pasaran saham termasuk aliran keluar dana asing dan prestasi ringgit.
“Para pelabur mungkin akan mengurangkan aktiviti perdagangan saham sehingga Perdana Menteri (baharu) dilantik.
“Justeru, terdapat kemungkinan bahawa aliran keluar atau masuk dana asing akan berada pada skala yang kecil dan ringgit juga akan berdagang pada julat yang terhad,” katanya.
Mata wang negara itu didagangkan lebih tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama dunia kecuali dolar apabila ditutup pada RM4.2360 daripada RM4.2375 Jumaat lalu.
Ringgit menokok berbanding pound sterling pada RM5.8715 daripada RM.5.8478 pada Jumaat, Euro RM4.9930 (Jumaat, RM4.9757), yen RM3.8750 (RM3.8427), yuan RM4.6402 (RM4.5930) dan dolar Singapura RM3.1247 (RM3.1203).
Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini memberi amaran ringgit dijangka terdedah kepada tempoh volatiliti yang ketara memandangkan momentum pemulihan ekonomi global dan dalam negara pada masa hadapan masih tidak menentu.
Sejak 1 Julai lalu, ringgit menyusut nilai sebanyak 1.7 peratus berbanding dolar AS.
Penyusutan itu menurut BNM, sejajar dengan prestasi kebanyakan mata wang serantau lain berikutan dolar AS yang secara keseluruhan bertambah kukuh. – UTUSAN










