Pos Malaysia tamatkan kontrak 262 ejen Pos Rider Lembah Klang - Utusan Malaysia

Pos Malaysia tamatkan kontrak 262 ejen Pos Rider Lembah Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pos Malaysia menamatkan kontrak 262 ejen Pos Rider di Lembah Klang dalam pelaksanaan rasionalisasi program khidmat luaran Fasa 2, berkua tkuasa pada 1 September ini.

Menurut kenyataan Pos Malaysia, program Pos Rider telah diperkenalkan pada 2019 dan berjaya membantu Pos Malaysia menyampaikan lebih banyak bungkusan di seluruh Malaysia.

“Pasaran pos dan kurier domestik telah melalui perubahan apabila jumlah mel terus menurun dengan begitu ketara, manakala para pemain e-dagang pula telah mula menawarkan khidmat penghantaran.

“Operasi kami telah dikaji semula dan mendorong kepada keputusan untuk menghentikan skim Pos Rider secara berperingkat,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, Pos Malaysia memaklumkan, bagi menghargai perkhidmatan bekas-bekas pekerja Pos Rider, pihaknya akan memberi keutamaan kepada ejen-ejen ini untuk khidmat sambilan sekiranya ada peningkatan terhadap permintaan penghantaran bungkusan.

Katanya, inisiatif itu dapat memberi manfaat kepada kedua-dua pihak apabila bekas Pos Rider dapat menjana pendapatan tambahan, manakala Pos Malaysia dapat mengekalkan kecekapan kos.

“Peningkatan permintaan sepanjang tahun biasanya berlaku semasa jualan sempena perayaan dan jualan tarikh khas anjuran pelbagai peniaga.

“Pos Malaysia akan terus meneliti strategi perniagaan, kos dan sumber apabila perlu bagi memastikan daya maju dan kemampanan perniagaan.

“Ini adalah penting sepanjang pandemik ini, oleh kerana kesan daripada pergerakan yang terhad dan operasi yang terbatas dihadapi oleh kesemua segmen perniagaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN