PETALING JAYA: Petronas telah menyelesaikan penghantaran kargo gas asli cecair (LNG) karbon neutral pertamanya kepada Shikoku Electric.
Kargo itu dihantar dari Kompleks LNG Petronas (PLC) di Bintulu dan telah diterima semalam di terminal LNG Sakaide di Pulau Shikoku, Jepun.
Syarikat minyak dan gas itu menjelaskan, ia telah mengimbangi jangkaan jejak karbon kitar hayat kargo LNG itu menerusi kredit karbon berasaskan pembaharuan untuk pelepasan yang dihasilkan daripada eksplorasi dan pengeluaran gas huluan, pengangkutan, pencecairan dan penghantaran kargo.
Selain itu, kredit karbon yang digunakan oleh Petronas untuk penghantaran disahkan melalui proses pengesahan yang ketat di bawah program Standard Karbon Diperakui, yang diiktiraf di peringkat global dan telah diterima pakai oleh peserta dan pengeluar tenaga.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, dalam membuktikan sokongan terhadap peralihan tenaga dan sejajar dengan pernyataan tujuan Petronas, pihaknya akan terus mempelbagaikan produk dan tawaran kepada pasaran.
“Dalam masa yang sama, mentransformasikan Petronas untuk menjadi penyedia tenaga lebih bersih dan mampan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Tengku Muhammad Taufik berkata, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan Shikoku Electric bagi penghantaran kargo LNG neutral karbon pertama, yang bertepatan dengan tarikh ulang tahun ke-47 Petronas.
“Bagi Petronas, ini merupakan pencapaian penting dalam usaha kami menyediakan penyelesaian tenaga lebih bersih yang memacu kemajuan berlandaskan cara yang bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Presiden Shikoku Electric, Keisuke Nagai berkata, pihaknya mempunyai hubungan baik dengan Petronas sejak 15 tahun lalu.
“Kami gembira Petronas telah memulakan usaha ini yang menandakan pencapaian penting memandangkan industri LNG semakin beralih ke arah masa depan yang lebih lestari,” katanya.
Dalam industri LNG, LNG karbon neutral dilihat sebagai pemangkin untuk mendorong komitmen karbon yang lebih luas, dengan semakin banyak pengguna LNG mencari jalan untuk mengurangkan jejak karbon masing-masing.
Sebagai pemain tenaga bersepadu, Petronas secara aktif berusaha untuk bekerjasama dengan pembeli dan pengguna akhir ke arah mencapai matlamat kelestarian.
Petronas juga dalam usaha mengurangkan jejak karbon di seluruh rantaian LNG dan gasnya. Usaha itu termasuk mengkuasakan PLC dengan tenaga hidroelektrik 90 MW, melakukan pemulihan dan penyimpanan karbon dari medan gas luar pesisir. – UTUSAN










