PETALING JAYA: Petronas Gas Berhad mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah pada suku kedua tahun kewangan 2021 pada RM439.07 juta berbanding RM547.10 juta yang dicatat pada suku sama tahun lalu.
Walau bagaimanapun, keuntungan terkumpul pada separuh pertama mencatatkan peningkatan kepada RM955.47 juta berbanding RM915.22 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Hasil syarikat gas itu juga mencatatkan penurunan daripada RM1.40 bilion pada suku kedua tahun lalu kepada RM1.38 bilion pada suku sama tahun ini.
Untuk separuh pertama, jumlahnya turut menurun daripada RM2.80 bilion tahun lalu kepada RM2.72 bilion tahun ini.
Menurut Petronas Gas, penyusutan hasil sebahagian besarnya disebabkan hasil yang lebih rendah dalam segmen utiliti, sejajar dengan harga produk yang lebih rendah walaupun jumlah jualan meningkat.
Katanya, keuntungan kasarnya menurun disebabkan kos operasi yang lebih tinggi dalam segmen pemprosesan gas, pengangkutan gas dan regasifikasi berkaitan dengan susut nilai, penyelenggaraan dan penggunaan gas dalaman.
“Ia diimbangi sumbangan yang lebih besar dalam segmen utiliti disebabkan margin yang lebih kukuh dan kos operasi yang lebih rendah, terutamanya untuk gas bahan api,” katanya dalam laporan sukuannya.
Jelas Petronas Gas, keuntungan sebelum cukai (PBT) menyusut 19 peratus atau RM135.1 juta seiring dengan penyusutan keuntungan kasar.
Katanya, bahagian keuntungan yang diperolehi daripada dua syarikat kerjasama, Kimanis Power Sdn. Bhd. (KPSB) dan Pengerang Gas Solutions Sdn. Bhd. (PGSSB) turut menyusut.
“Pada suku tersebut, KPSB terkesan dengan pergerakan tukaran mata wang asing sementara PGSSB mencatatkan jumlah jualan yang lebih rendah,” katanya.
Petronas Gas optimis dengan prospek sepanjang tahun ini walaupun berhadapan pandemik memandangkan model perniagaan dan kontrak jangka panjang syarikat itu dapat menjamin aliran hasil yang stabil, khususnya untuk segmen perniagaan pemprosesan gas, pengangkutan gas dan regasifikasi.
“Segmen pengangkutan gas dan regasifikasi kumpulan dijangka terus menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan di bawah tarif RP1 manakala segmen pemprosesan gas dijangka terus stabil disokong aliran pendapatannya yang kukuh dan mampan di bawah penggal kedua Perjanjian Pemprosesan Gas 20 tahun yang berkuat kuasa bermula 2019 hingga 2023,” katanya. – UTUSAN









