Pertandingan Rumah Konsep tawar hadiah RM100,000  - Utusan Malaysia

Pertandingan Rumah Konsep tawar hadiah RM100,000 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad bekerjasama dengan Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) untuk mencari konsep reka bentuk rumah masa hadapan menerusi Pertandingan Rumah Konsep 2030.

Juara akan memenangi RM100,000 dan projek pameran fizikal atau secara maya berkomisen dengan Sime Darby Property, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing bakal membawa pulang RM75,000 dan RM50,000.

Ini bertepatan dengan keadaan semasa apabila rumah menjadi kepentingan utama disebabkan perubahan gaya hidup yang drastik akibat penularan Covid-19 yang melanda dunia.

Pertandingan ini mengundang penyertaan daripada arkitek korporat yang berdaftar dengan PAM untuk mencari konsep reka bentuk rumah masa hadapan melalui idea reka bentuk seni bina yang sesuai dengan pembayangan gaya hidup rakyat Malaysia pada tahun 2030.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, prinsip bentuk mengikuti fungsi telah wujud dalam masyarakat selama beberapa generasi dan untuk membentuk cara hidup manusia di masa hadapan, kita perlu mencari idea-idea baharu daripada mereka yang mahu menjadi pencetus perubahan dalam sektor pembinaan.

Ujarnya, cabaran terbesar dalam memperbaharui reka bentuk rumah teres Malaysia yang sedia ada adalah untuk menerapkan fungsi dan proses pembinaan yang lebih cekap, dilengkapi dengan ruang serba guna yang boleh disesuaikan untuk pelbagai kegunaan.

“Pencarian reka bentuk baharu untuk rumah teres masa hadapan perlu bermula sekarang agar lebih bersedia dalam menghadapi masa hadapan terutamanya yang berkaitan dengan perubahan iklim, pemilikan rumah, kekurangan bahan serta perubahan gaya hidup dan keperluan peribadi.

“Melalui Pertandingan ini, kami ingin memahami dengan lebih mendalam visi rumah masa hadapan daripada lensa pakar seni bina dan reka bentuk, rumah yang dibina dengan teknologi dan ciri-ciri canggih yang dapat meningkatkan kualiti hidup dan produktiviti,” katanya dalam kenyataan.

Peserta pertandingan digalakkan melangkah keluar daripada norma tradisi reka bentuk hari ini bagi menghasilkan idea yang mampu mencetus perubahan dinamik dalam cara hidup kita, bagi Sime Darby Property untuk seterusnya merealisasikan visi masa hadapan tersebut untuk rakyat Malaysia.

Rumah konsep yang diilhamkan perlu mengoptimumkan penggunaan ruang fleksibel dan ciri-ciri lain yang boleh diubah suai bagi memenuhi kehendak kerja dan belajar dari rumah pada bila-bila masa.

Ia juga perlu membolehkan penghuni untuk memperluaskan ruang berdasarkan keperluan, serta dibina dengan asas modular yang benar-benar dapat mendefinisikan semula keharmonian hidup bermasyarakat dan bukan sekadar rumah individu.

Sementara itu, Presiden PAM, Datuk Ar. Ezumi Harzani Ismail memaklumkan, pertandingan ini diharap dapat melihat idea-idea inovatif yang akan mengubah arah aliran masa hadapan.

“Kita mahu membawa teknologi interaktif baharu yang membolehkan manusia berkomunikasi dengan rumah serta rumah yang mampu berdaya tahan terhadap persekitaran dan direka bentuk untuk memenuhi keperluan dan keinginan hidup moden rakyat Malaysia,” jelasnya.

Juara akan memenangi RM100,000 dan projek pameran fizikal atau secara maya berkomisen dengan Sime Darby Property manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan membawa pulang RM75,000 dan RM50,000.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN