Permintaan hartanah sekunder meningkat - Utusan Malaysia

Permintaan hartanah sekunder meningkat

LANJUTAN Kempen Pemilikan Rumah (HOC) sehingga Disember ini turut menjadi faktor pemulihan pasaran kediaman. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permintaan terhadap hartanah kediaman sekunder di Malaysia mengalami pertumbuhan positif pada separuh pertama 2021 dengan peningkatan sebanyak 19.2 peratus berbanding -2.5 peratus pada separuh pertama 2020.

Menurut iProperty.com.my, kedua-dua kunjungan dan bekalan penyenaraian hartanah unik dalam laman web itu meningkat pada separuh pertama tahun ini dengan jumlah kunjungan melebihi peningkatan bekalan penyenaraian.

Katanya, ia merangkumi hartanah jenis rumah teres, kondominium, kediaman dan pangsapuri perkhidmatan.

Pengurus Besar Penyelesaian Data Pelanggan dan Kualiti iProperty, P. Premendran berkata, pemulihan pasaran kediaman pada tempoh tersebut membawa khabar baik kepada pemain industri hartanah tempatan.

“Pandemik Covid-19 tidak mendatangkan kesan yang buruk ke atas segmen ini seperti yang berlaku pada separuh pertama tahun lalu di mana angka permintaan ketika itu menjunam hingga ke paras negatif.

“Salah satu faktor penting yang menyokong pemulihan permintaan pada separuh pertama 2021 ialah para pencari hartanah mulai selesa dengan idea melakukan carian hartanah mereka dalam talian.

“Selain daripada melayari hartanah dalam talian, perbincangan susulan dengan ejen hartanah secara maya juga diterima sebagai salah satu norma baharu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut iProperty, lanjutan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) sehingga Disember ini juga menjadi faktor pemulihan pasaran kediaman dengan pelbagai tawaran hartanah HOC memberikan kesan limpahan ke atas segmen kediaman sekunder.

Dapatan daripada Analisis Permintaan Portal Pasaran Kediaman Sekunder Separuh Pertama 2021 oleh laman web itu juga mendapati permohonan pinjaman perumahan meningkat dan permintaan positif untuk semua jenis hartanah.

“Berdasarkan data permohonan pinjaman perumahan bulanan Bank Negara Malaysia (BNM), nilai permohonan pinjaman perumahan meningkat 86 peratus tahun ke tahun daripada RM96.4 bilion pada separuh pertama 2020 kepada RM179.4 bilion pada separuh pertama tahun ini.

“Nilai pinjaman yang diluluskan juga meningkat 92.6 peratus tahun ke tahun bagi tempoh sama. Dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) berada pada paras terendah 1.75 peratus, ramai pengguna mencari tawaran hartanah dalam persekitaran kadar faedah yang rendah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN