PETALING JAYA: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menganjurkan Forum Guna Tenaga Awam Antarabangsa (IPEF) 2021 yang bermatlamat untuk membantu mempersiapkan orang ramai, terutamanya golongan majikan, pekerja dan pencari kerja dengan maklumat serta berkongsikan amalan terbaik bagi membina semula kehidupan pascapandemik Covid-19.
Forum antarabangsa yang dianjurkan secara maya itu bakal menghimpunkan tiga program berbeza di bawah satu bumbung dan akan diadakan secara serentak bermula 6 hingga 9 September ini.
Menurut Perkeso, tiga program tersebut ialah Socso’s Regional Return To Work (RTW) DIGIMOS Symposium 2021 pada 6 hingga 7 September; International Public Employment Services Symposium (7-8 September) dan Ekspo Kerjaya (7-9 September).
Katanya, ketiga-tiga program tersebut adalah terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat dengan penyertaan percuma.
“Bertemakan Vanigating Disability Managemnet Through the New Normal: Return to Work Process Re-engineering, program RTM DIGIMOS Symposiun 2021 akan dianjurkan selari dengan usaha Perkeso untuk terus membantu golongan orang kurang upaya (OKU) dalam mengharungi cabaran pandemik Covid-19.
“Persidangan kali pertama anjuran Perkeso ini dijangka akan mengumpulkan lebih 1,000 peserta dari seluruh Asia Tenggara dengan mengetengahkan barisan panel jemputan yang terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang pengurusan hilang upaya dan rehabilitasi tempat kerja,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Perkeso, antara pakar yang dijempur sebagai panel ialah Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed; Pengarah Eksekutif International Disability Management Standards Council Kanada, Wolfgang Zimmerman dan Profesor dalam bidang pemulihan dari University of Texas Rio Grande Valley Amerika Syarikat (AS), Prof. Dr. Rene Gonzalez.
Jelasnya, menerusi program International Public Employment Service Symposium pula, Perkeso berhasrat untuk mewujudkan satu platform perkongsian idea dan bertukar pandangan antara pakar-pakar dalam pasaran buruh negara mengenai langkah-langkah membangunkan semula ekonomi negara selepas pandemik Covid-19.
Katanya, persidangan dua hari itu dijangka menarik lebih daripada 40,000 penyertaan di samping menampilkan barisan panel hebat dan terkemuka dari sektor awam dan swasta, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu, Datuk Seri Idris Jala; Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin; Pengarah Urusan Kumpulan Simbe Darby Plantation, Helmi Othman Basha dan pelawak, Douglas Lim.
Selain itu, Ekspo Kerjaya secara maya yang diadakan akan menawarkan lebih 20,000 kekosongan jawatan daripada 126 majikan yang dijangka dapat membantu merangsang pasaran buruh negara selain menjadi platform carian pekerjaan yang mudah buat rakyat Malaysia. – UTUSAN