PETALING JAYA: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Agensi Nuklear Malaysia (Agensi Nuklear) memeterai perjanjian persefahaman (MoU) bagi kerjasama dalam pelaksanaan dua projek penyelidikan berasaskan sawit menggunakan teknologi sinaran dan projek-projek lain yang berpotensi.
MPOB dalam satu kenyataan berkata, MoU yang dimeterai itu merupakan langkah permulaan dan akan bertindak sebagai payung bagi kerjasama pelaksanaan projek penyelidikan di antara MPOB dan Agensi Nuklear.
“Projek pertama adalah penyelidikan bersama dalam poliol sawit dan bio-poliol poliester untuk penghasilan penyerakan poliuretana akrilat berasaskan air untuk penghasilan bahan salutan termaju menggunakan teknologi sinaran.
“Projek kedua pula adalah penyelidikan bersama dalam poliol sawit dan bio-poliol poliester untuk penghasilan resin fotopolimer untuk penghasilan pencetakan perancah 3D untuk kejuruteraan tisu dalam aplikasi biomedik menggunakan teknologi sinaran,” katanya.
Ujarnya, bagi projek-projek lain yang berpotensi, kedua-dua pihak akan menjalankan penyelidikan dalam bidang bersesuaian yang pada masa akan datang setelah dipersetujui bersama.
Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, MPOB mempunyai teknologi dan kepakaran untuk menghasilkan poliol berasaskan sawit dan bio-poliol poliester.
“Ia juga merupakan penerokaan baharu untuk poliol sawit dan bio-poliol poliester bagi penghasilan bahan salutan termaju daripada penyerakan poliuretana berasaskan air dan produk pencetakan perancah 3D kejuruteraan tisu dalam aplikasi biomedik dengan menggunakan teknologi sinaran.
“Produk yang akan dihasilkan adalah lebih mesra alam. Ia juga membuka peluang pengkomersialan bagi produk berasaskan sawit yang menggunakan teknologi sinaran,” kata Ahmad Parveez.
Beliau menjelaskan, kerjasama dua agensi tersebut akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak selain dapat berkongsi kepakaran dalam penghasilan bahan termaju berasaskan sawit menggunakan teknologi sinaran.
Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, Ts. Dr. Siti A’iasah Hashim berharap, kepakaran penyelidik, kemudahan dan makmal kedua-dua agensi dapat digunakan untuk menjayakan kerjasama tersebut.
“Keadaan semasa negara yang sedang berusaha menangani pandemik Covid-19 diharap tidak akan menjejas dan menyebabkan aktiviti yang dirancang tertangguh dan objektif projek yang telah ditetapkan dapat dicapai sepenuhnya.
“Saya turut berharap hasil kerjasama penyelidikan dapat mencetuskan industri baharu yang boleh menyokong usaha ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi yang mampan,” tambah beliau.
Agensi Nuklear ialah sebuah agensi penyelidikan dalam bidang sains dan teknologi nuklear di Malaysia yang bervisikan sains dan teknologi nuklear untuk penjanaan ilmu, kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat dan negara.
Agensi tersebut juga adalah peneraju kecemerlangan dalam bidang penyelidikan dan penggunaan teknologi nuklear untuk pembangunan lestari yang telah terzahir melalui pelbagai projek kerjasama teknikal dengan agensi-agensi tertentu. – UTUSAN










