Pendapatan KPJ Healthcare meningkat didorong PKP 3.0 kurang ketat - Utusan Malaysia

Pendapatan KPJ Healthcare meningkat didorong PKP 3.0 kurang ketat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang kurang ketat membantu KPJ Healthcare merekodkan pendapatan lebih tinggi pada suku kedua tahun kewangan 2021.

Menurut KPJ Healthcare, syarikat merekodkan pendapatan sebanyak RM632.8 juta, meningkat 33 peratus tahun ke tahun disebabkan terutama oleh prestasi operasi yang lebih baik, didorong oleh PKP 3.0 yang kurang ketat pada suku kedua tahun kewangan 2021.

Jelasnya, syarikat merekodkan seramai 758,629 pesakit pada suku tahun dilaporkan, meningkat sebanyak 36 peratus daripada 556,042 pesakit pada tempoh sama sebelumnya.

“Kadar penghunian katil (BOR) dicatatkan pada 41 peratus pada suku kedua tahun ini, meningkat tujuh peratus daripada 34 peratus suku sama tahun lalu.

“Keuntungan sebelum cukai (PBT) menurun sebanyak 25 peratus, disebabkan terutamanya kenaikan kos operasi norma baharu di samping pembalikan peruntukan yang tinggi pada 2020, ditambah dengan faedah yang diterima dari Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN (Prihatin) dan Pelan Pemulihan Ekonomi PENJANA (Penjana),” katanya dalam kenyataan.

Bagi tempoh separuh pertama 2021, pendapatan KPJ Healthcare meningkat sebanyak 9 peratus tahun ke tahun kepada RM1.239 bilion, disebabkan terutamanya oleh peningkatan aktiviti-aktiviti di hospital dan jumlah pesakit yang lebih tinggi.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, KPJ Healthcare mencatatkan seramai 1.5 juta pesakit, berbanding 1.4 juta pesakit pada separuh pertama tahun lalu.

“Jumlah susut nilai dan pelunasan (EBITDA) dan PBT masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 8 peratus dan 54 peratus, daripada RM265 juta dan RM74.1 juta kepada RM242.7 juta dan RM34.3 juta pada tempoh semasa.

“Penurunan ini disebabkan oleh kenaikan kos operasi di bawah kos pentadbiran biasa yang lebih tinggi dan pembalikan peruntukan pada 2020 ditambah faedah yang diterima daripada Prihatin dan Penjana,” jelasnya.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad, Ahmad Shahizam Mohd. Shariff berkata, KPJ Healthcare akan terus memainkan peranan utama dalam menyokong usaha pemulihan ekonomi negara dan bekerjasama dengan rakan kongsi untuk memastikan perkhidmatannya pada tahap kualiti tertinggi sepanjang tempoh yang mencabar ini.

Jelasnya, KPJ Healthcare telah memainkan peranan penting dalam menyokong usaha pemulihan negara untuk mengekang pandemik Covid-19 dan kekal komited dalam usahanya sehingga ke hari ini.

“Ini termasuk memindahkan pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta untuk mengurangkan tekanan pada sistem penjagaan kesihatan awam, diikuti oleh pengurusan aktif kes Covid-19 terpilih di hospital KPJ.

“Selain itu, kami juga telah menghantar jururawat terlatih kami ke beberapa hospital kerajaan yang memerlukan,” katanya.

Mengenai jangkaan separuh kedua tahun ini, KPJ Healthcare akan terus beroperasi dalam persekitaran mencabar.

Jelasnya, pengenaan serangkaian PKP dalam jangka masa yang panjang disebabkan kenaikkan
kadar kes-kes Covid-19, telah mempengaruhi operasi syarikat dengan ketara.

“Walaupun aktiviti ekonomi dan perniagaan telah disambung semula, pergerakan rentas sempadan yang terhad dan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat untuk kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat terus mempengaruhi usaha pemulihan operasi perniagaan di seluruh peringkat syarikat.

“Walaupun begitu, syarikat akan terus berwaspada dan fokus untuk memberikan perkhidmatannya sambil melindungi kedudukan tunai demi memastikan ia tetap bertahan pada masa-masa kritikal ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN