Pelajar Malaysia perlu tingkat kemahiran digital - Utusan Malaysia

Pelajar Malaysia perlu tingkat kemahiran digital

Coursera mendapati, wujud jurang kemahiran yang signifikan dalam kalangan pelajar Malaysia dalam bidang perniagaan, teknologi dan sains data. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelajar Malaysia perlu meningkatkan kecekapan kemahiran digital bagi memastikan negara dapat terus merancakkan agenda ekonomi digital.

Laporan Kemahiran Global oleh platform pembelajaran dalam talian, Coursera mendapati, wujud jurang kemahiran yang signifikan dalam kalangan pelajar Malaysia dalam bidang perniagaan, teknologi dan sains data.

Walau bagaimanapun, menurut Coursera, pelajar Malaysia secara relatif lebih mahir dalam kemahiran digital seperti pengkomputeran awan dan analisis data.

“Pada keseluruhannya, Malaysia masih dianggap kompetitif dengan kecekapan 57 peratus dalam ketiga-tiga bidang tersebut dan menduduki tempat ke-46 di peringkat global serta keempat di Asia Tenggara.

“Di rantau ini, Malaysia didahului negara-negara jiran seperti Singapura pada tempat ke-10, Vietnam (20) dan Indonesia (45) tetapi berada di hadapan Filipina (69) dan Thailand (76),” katanya dalam kenyataan.

Menurut Pengarah Urusan India dan Asia Pasifik Coursera, Raghav Gupta, terdapat perbezaan antara kadar transformasi kemahiran dengan kadar transformasi digital di Malaysia.

“Kadar transformasi kemahiran di Malaysia adalah lebih lambat daripada kadar transformasi digitalnya, seperti mana di beberapa negara lain di seluruh dunia.

“Para pelajar disarankan melabur dalam kemahiran insaniah dan teknikal demi mempersiapkan diri untuk pekerjaan masa hadapan,” katanya.

Menurut laporan tersebut, pelajar Malaysia mempamerkan kecekapan tinggi dalam kemahiran pengkomputeran awan dan analisis data dengan masing-masing pada tahap 91 peratus dan 79 peratus.

Sementara itu, ketika kecekapan pelajar Malaysia dalam pembelajaran mesin berada pada tahap 50 peratus, lebih ramai pelajar memilih pembelajaran dalam talian bagi melengkapkan diri dengan kemahiran masa hadapan.

Katanya, trend tertinggi dalam pelajar Malaysia merangkumi pengaturcaraan Python, pembelajaran mesin, internet kebendaan (IoT) dan pengurusan data.

“Pada peringkat global, Malaysia mencapai kedudukan pertengahan bagi setiap bidang – ke-52 dalam perniagaan, ke-48 dalam teknologi dan ke-51 dalam sains data.

“Dengan kecekapan 56 peratus dalam bidang teknologi, Malaysia jelas ketinggalan berbanding negara jiran seperti SIngapura (96 peratus), Vietnam (88 peratus) dan Indonesia (78 peratus).

“Biarpun terdapat desakan di seluruh negara untuk memupuk generasi bakat sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) yang baharu, kemahiran-kemahiran utama seperti kejuruteraan perisian, matematik dan pengaturcaraan memperoleh markah kurang daripada 50 peratus dalam penanda aras laporan berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN