PdPR: MBSB Bank sumbang 3,600 peranti digital - Utusan Malaysia

PdPR: MBSB Bank sumbang 3,600 peranti digital

NOR AZAM M. TAIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MBSB Bank menyumbang 3,600 peranti digital bernilai RM5 juta bagi memastikan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dapat meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Sumbangan yang terdiri daripada komputer riba, dongle dan kad SIM itu dilaksanakan menerusi CERDIK, inisiatif perintis dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan serta Yayasan Hasanah sebagai urusetia program.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M. Taib berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat menolong pelajar yang memerlukan.

“Keadaan pandemik yang berterusan mengganggu sesi pembelajaran konvensional dan memaksa pelajar untuk menggunakan digital sepenuhnya.
Kami memahami tidak semua mampu memiliki peranti digital untuk tujuan tersebut.

“Kami gembira dapat membantu merapatkan jurang pembelajaran digital untuk 3,600 pelajar dari 19 sekolah di seluruh negara.

“MBSB Bank akan terus menjadi penyokong kecemerlangan pendidikan dan kami mewujudkan program yang memberikan peluang akademik lebih baik kepada pelajar, terutamanya dari komuniti terpinggir,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, Datuk Shahira Ahmed Bazari memaklumkan, CERDIK menyediakan alat pembelajaran yang berkualiti dan boleh dipercayai kepada pelajar, dan turut disertakan dengan sokongan teknikal, sambungan dan jaminan.

“Walaupun terdapat masalah bekalan global mengakses komputer riba berkualiti, CERDIK kini berada di landasan tepat untuk menyampaikan peranti berdasarkan garis masa yang ditetapkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN