PDB catat untung bersih lebih tinggi  - Utusan Malaysia

PDB catat untung bersih lebih tinggi 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Untung bersih Petronas Dagangan Berhad (PDB) melonjak kepada RM82.14 juta pada prestasi kewangan suku kedua berakhir 30 Jun 2021, berbanding RM3.155 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu berikutan kenaikan harga minyak dan jumlahnya yang lebih tinggi.

Pendapatan meningkat kepada RM5.14 bilion berbanding RM2.93 bilion sementara pendapatan asas sesaham naik kepada 8.30 sen daripada 0.40 sen.

Mengulas mengenai prestasi syarikat itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrul Osman Rani berkata, pihaknya gembira perniagaan secara perlahan-lahan meningkat dari tahun lalu.

“Namun begitu, kami tetap berhati-hati dengan ketidakpastian iklim semasa dan akan terus mengoptimumkan sumber kami.

“Kami juga akan terus melihat kepelbagaian portfolio kami sambil memanfaatkan perkongsian strategik dan platform digital yang dapat menyokong strategi kami untuk memberi nilai tambah kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan.

Azrul menjelaskan, selaras dengan mempercepatkan segmen bukan bahan bakarnya, perniagaan runcitnya akan memperluaskan penyelesaian makanan sedia dimakannya di kedai Mesra kepada 80 lokasi menjelang akhir tahun ini.

Ujarnya, pihaknya juga akan memanfaatkan platform digitalnya untuk menawarkan pengalaman yang lebih lancar kepada pelanggan menerusi penggabungan program kesetiaan Mesra dengan aplikasi Setel.

Pada suku yang sama, perniagaan gas petroleum cecairnya (LPG) memperkenalkan aplikasi mudah alih Gas Petronas di kawasan terpilih di Lembah Klang untuk memudahkan pesanan gas memasak itu.

“Pandemik yang berpanjangan ini tetap menjadi risiko utama bagi PDB. Bagaimanapun, dengan kelonggaran yang telah diberikan oleh kerajaan, kami menjangkakan ia akan membantu merangsang aktiviti ekonomi.

“Kami akan terus memantau tren pasaran untuk peluang pertumbuhan dan mempercepat kempen pemasaran yang disasarkan,” katanya.

PDB telah mengumumkan dividen interim 10 sen setiap saham biasa untuk suku yang berakhir pada 30 Jun 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN