Kerajaan campuran boleh beri imej baik kepada pelabur
PETALING JAYA: Kerajaan baharu yang bakal dibentuk perlu stabil agar keyakinan pelabur dapat dikembalikan, seterusnya membantu proses pemulihan ekonomi negara.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid, bagi mendapatkan kepercayaan pelabur khususnya pelabur asing, keharmonian kerajaan harus terserlah dan kemelut politik yang berlaku perlu ditangani segera.
Kata beliau, pembentukan kerajaan campuran juga dapat meningkatkan keyakinan pelabur apabila ahli politik berbeza parti dilihat berusaha memulihkan negara.
“Jika lantikan barisan menteri mempunyai komposisi dari (parti) pemerintah dan pembangkang, ia dijangka memberi isyarat jelas bahawa kita bekerja sebagai satu pasukan demi masa depan negara.
“Dengan menyelesaikan kemelut politik, negara boleh fokus kepada usaha merancakkan kegiatan ekonomi dan peluang untuk mencapai pertumbuhan positif lebih cerah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas Baharom, lantikan menteri berkaitan ekonomi juga signifikan dan seboleh-bolehnya ia tidak dipilih berdasarkan kuota parti, sebaliknya berdasarkan pengalaman dan kemahiran, termasuk melantik golongan profesional dan teknokrat.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat, lantikan teknokrat boleh diterima namun perlu dipastikan individu tersebut tidak mewakili industri kewangan seperti bekas pegawai bank kerana mereka cenderung menjaga kepentingan bank berbanding rakyat.
Kata beliau, jawatan-jawatan tersebut boleh juga diisi oleh ahli politik yang mempunyai latar belakang ekonomi atau kewangan.
Jelas beliau, kerajaan baharu perlu mengambil pengajaran daripada kesilapan kerajaan terdahulu yang tidak bersifat inklusif dalam mendapatkan pandangan pelbagai pihak untuk melaksanakan polisi berkaitan ekonomi.
“Kerajaan terdahulu tidak cenderung melaksanakan reformasi monetari yang amat penting dilakukan dalam suasana sekarang kerana masih menggunakan acuan dan formula yang sama, iaitu menambah hutang dan memberi bantuan tunai secara sekali beri.
“Ia sebenarnya tidak dapat mengubah nasib rakyat dan peniaga yang masih dibelenggu hutang yang tinggi dan berisiko muflis.
“Sedangkan, 50 individu terkaya berjaya meningkatkan kekayaan sebanyak 14 peratus sepanjang pandemik dan bank komersial masih mencatatkan keuntungan sebelum cukai sehingga hampir RM26 bilion,” katanya. – UTUSAN










