PETALING JAYA: Pasaran buruh pada suku kedua 2021 menunjukkan peningkatan berbanding suku sama tahun lalu namun belum kembali kepada kedudukan sebelum pandemik.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan tersebut disokong oleh pengoperasian aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih banyak, terutamanya pada awal suku kedua termasuk pembukaan semula pendidikan menengah serta kebenaran bagi gerai makanan dan penjaja untuk beroperasi sempena Ramadan.
Walau bagaimanapun, kata beliau, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh telah dilaksanakan sejak 1 Jun berikutan peningkatan kes harian dan kematian akibat Covid-19.
“Dalam fasa ini, kebenaran untuk beroperasi hanya diberikan kepada aktiviti penting merangkumi subsektor pembuatan terpilih, makanan dan minuman, keselamatan, perkhidmatan kesihatan dan perubatan, perbankan serta komunikasi.
“Namun, keadaan ini berbeza daripada suku yang sama tahun sebelumnya dengan kebenaran berada di premis sehingga 60 peratus bagi pekerja sektor penting swasta,” katanya dalam kenyataan Sorotan Pasaran Buruh Suku Kedua 2021.
Menurut Mohd. Uzir, peningkatan penyertaan dalam tenaga buruh berbanding suku sama tahun lalu ditunjukkan oleh pertambahan 0.2 mata peratus kadar penyertaan tenaga buruh kepada 68.3 peratus.
Jelas beliau, bilangan penduduk bekerja naik 2.2 peratus merekodkan 15.21 juta orang berbanding 14.88 juta orang pada suku kedua tahun lalu.
“Sementara itu, bilangan penganggur berkurang 3.4 peratus kepada 764,900 orang berbanding 791,800 tahun lalu, menyebabkan penurunan sebanyak 0.3 mata peratus kadar pengangguran kepada 4.8 peratus.
“Meskipun begitu, bilangan penganggur kekal tinggi berbanding purata 500,000 orang yang direkodkan pada tempoh sebelum Covid-19.
“Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada suku kedua 2021 naik 1.9 peratus mencatatkan 15.97 orang berbanding 15.68 juta orang pada suku kedua tahun lalu manakala bilangan yang di luar tenaga buruh naik sebanyak satu peratus merekodkan 7.42 juta orang berbanding 7.35 juta orang pada suku sama tahun lalu,” katanya.
Mohd. Uzir berkata, Malaysia terus berdepan cabaran dalam menangani pandemik Covid-19 namun dengan usaha vaksinasi, negara dijangka dapat mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat dan aktiviti ekonomi akan dapat dirangsang.
“Namun, selaras dengan semakan semula unjuran pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah pada 2021, momentum pertumbuhan pasaran buruh dijangka akan meningkat secara beransur-ansur berikutan langkah berhati-hati perniagaan dalam menjalankan operasi bagi memastikan pandemik dapat dikawal,” katanya. – UTUSAN










