NTIS tambah kipleX, Ficus VC sebagai rakan pembiayaan - Utusan Malaysia

NTIS tambah kipleX, Ficus VC sebagai rakan pembiayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) mengumumkan kipleX dan Ficus Venture Capital (Ficus VC) sebagai tambahan kepada rakan pembiayaan sekali gus memberi manfaat pelaburan kepada lebih banyak syarikat teknologi peringkat awal tempatan.

Kerjasama sektor awam-swasta itu turut mendorong pemulihan ekonomi dan pertumbuhan negara.

Melalui NTIS, Ficus akan membiayai antara RM500,000 hingga RM2 juta untuk setiap perjanjian, sementara kipleX, dana modal teroka peringkat awal dan studio permulaan yang berpusat di ibu negara sebelum ini menetapkan pembiayaan antara RM500,000 hingga maksimum RM2 juta setiap pelaburan di syarikat peringkat awal.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif  Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Amiruddin Abdul Shukor berkata, kerjasama tersebut memperluaskan inovasi kepada pengkomersialan, membenarkan lebih banyak syarikat teknologi peringkat awal untuk mengambil bahagian dalam Sandbox.

“Buat masa ini, projek yang dibiayai adalah yang berada di Tahap Kesediaan Teknologi (TRL) tahap enam dan ke atas.

“Justeru, dengan lebih banyak pilihan pelaburan dan dana yang ada, kami dapat menyokong lebih banyak lagi syarikat, berusaha untuk mematangkan inovasi produk mereka, terutama melalui masa yang sukar ini,” katanya dalam kenyataan.

Sejak dilancarkan, NTIS telah menerima lebih dari 500 permohonan lengkap, dengan lebih dari 150 sudah mendapat sokongan dana, teknikal dan pemasaran.

Dari segi permohonan sektoral, lebih daripada 50 peratus projek yang diluluskan perlu memberi manfaat kepada industri perubatan dan penjagaan kesihatan, pertanian dan perhutanan serta tenaga.

Sementara itu, Pengerusi Ficus VC, Nor’Azamin Salleh memaklumkan, selain pembiayaan, syarikatnya akan membantu peserta NTIS untuk meningkatkan pasaran mereka dan pengesahan produk.

“Kami mempunyai rangkaian mentor yang luas dari seluruh dunia untuk membantu mencapai tahap matang teknikal dan kesediaan pasaran syarikat peringkat awal,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif kipleX, Andrew Tan menjelaskan, pihaknya berbesar hati dapat menyediakan perundingan dan bimbingan dalam bidang seperti pencarian dana, pemikiran reka bentuk, teknologi reka bentuk dan pembangunan produk dan kejuruteraan perisian kepada peserta NTIS.

“Kami gembira dapat menyumbang kepada agenda nasional ini seterusnya membolehkan NTIS mencapai objektifnya. Sebagai firma modal teroka, kami biasanya melabur dalam syarikat teknologi peringkat awal dalam bidang fintech, mobiliti, internet kebendaan (IoT), Proptech, dan kecerdasan buatan (AI),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN