PETALING JAYA: Northport (Malaysia) Berhad (Northport), ahli Kumpulan MMC dan Shin Yang Shipping menyokong misi bantuan Malaysian Relief Agency (MRA) untuk membantu petugas kesihatan barisan hadapan dan komuniti terjejas akibat COvid-19 di Sabah dan Sarawak.
Lebih 10 tan bekalan termasuk peralatan perubatan dan pek makanan bernilai RM1.24 juta berjuta dikumpulkan oleh MRA untuk misi tersebut.
Barang-barang bantuan tersebut telah dimuatkan ke dalam tiga kontena untuk dihantar ke Kuching, Sibu, Kota Kinabalu dan Tawau menggunakan perkhidmatan perkapalan Shin Yang di Northport.
Di bawah program kerjasama tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu, Northport telah memberikan sokongan melalui pengendalian barangan di gudang MRA di sini dan di destinasi, serta menyediakan perkhidmatan pelabuhan dan penyimpanan di terminalnya.
Sementara Shin Yang, antara syarikat perkapalan utama bagi perkhidmatan perkapalan antara Pelabuhan Klang dan pelabuhan-pelabuhan di Malaysia Timur, menyediakan tiga buah kontena serta slot khas untuk kontena-kontena itu di dalam kapal milik mereka.
Majlis pelepasan kontena telah diadakan di Northport pada Sabtu lalu dengan dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof dan Presiden MRA, Dr. Mohd. Daud Sulaiman.
Azman Shah berkata, kerjasama tersebut adalah platform dan peluang untuk Northport bersama rakan- rakan perniagaannya membantu mereka yang memerlukan dalam situasi krisis sekarang.
“Kami berbesar hati dapat menawarkan kepakaran dan kemudahan untuk membantu organisasi seperti MRA menjayakan inisiatif yang murni itu,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Shin Yang, Kapten Ting Hien Liong berkata, pihaknya amat gembira dapat menjadi sebahagian daripada misi bantuan itu dan dapat melakukan lebih daripada aktiviti harian operasi perniagaannya.
“Kami telah lama menghubungkan perdagangan antara Malaysia Barat dan Timur dan kami bersyukur kerana dapat menawarkan perkhidmatan kami bagi misi bantuan ini demi membantu petugas barisan hadapan dan masyarakat yang terkesan akibat Covid-19 di Sabah dan Sarawak,” katanya. – UTUSAN









