PETALING JAYA: Naza Automative Group, cabang permotoran Naza Corporation Holdings Sdn. Bhd. meminta kerajaan membenarkan sektor automotif kembali beroperasi.
Ia berikutan keseluruhan rantaian bekalan sektor berkenaan telah teruk terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) terutama membabitkan Kuala Lumpur dan Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif NAZA Automotive Group, Datuk Nik Hamdam Nik Hassan berkata, banyak syarikat automotif utama terletak di kedua-dua negeri berkenaan.
Sehubungan itu katanya, gangguan perniagaan dan rantaian bekalan yang berpanjangan akan mendatangkan kesan buruk kepada industri, lebih-lebih lagi industri automotif tempatan
sangat bergantung kepada pasaran domestik.
“Penutupan secara berterusan penjualan, pengeluaran dan pengedaran kenderaan bermotor, komponen, alat ganti, bilik pameran dan pusat pengedaran akan menyebabkan perniagaan akhirnya ditutup terutama pemain kecil industri.
“Keadaan ini akan menyebabkan pemberhentian pekerja dan kemungkinan memberi kesan serius jangka pandang kepada pasaran kerja,” katanya dalam kenyataan.
Nik Hamdan berkata, senario semasa bukan hanya menyusahkan pengguna, tetapi juga kemungkinan melibatkan risiko kepada pemilik kenderaan kerana penggunaan kenderaan yang tidak diservis secara berterusan dan ketidakupayaan untuk mengganti bahagian yang rosak apabila diperlukan.
“NAZA berharap kerajaan akan memberi perhatian kepada keadaan industri dan membenarkannya kembali beroperasi dengan kadar segera, tertakluk kepada pematuhan ketat
prosedur operasi standard (SOP),” katanya. – UTUSAN










