PETALING JAYA: Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) memenangi Anugerah Kecemerlangan Industri untuk sektor hartanah dalam Minority Shareholders Watch Group (MSWG) ASEAN Corporate Governance Award 2020.
Anugerah itu mengiktirafkan amalan terbaik tadbir urus syarikat korporat Malaysia yang tersenarai menggunakan penilaian Kad Skor Tadbir Urus Korporat ASEAN.
Ketua Pegawai Korporat MRCB, Amarjit Chinna berkata, tadbir urus korporat adalah salah satu asas kelestarian.
“Memenangi anugerah itu telah membuktikan usaha kami bukan hanya dalam menegakkan piawaian tadbir urus korporat tertinggi, tetapi juga ketelusan dan kualiti pendedahan kepada pihak berkepentingan kami.
“Kami berbesar hati menerima penghargaan ini dan ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak MSWG untuk pengiktirafan itu,” katanya dalam kenyataan.
Anugerah Tadbir Urus Korporat MSWG-ASEAN yang diadakan setiap tahun itu terkenal dengan proses standard pengendaliannya yang tinggi di Malaysia.
Ia ditubuhkan untuk membentuk rangka kerja tadbir urus yang sama di seluruh wilayah dan meningkatkan profil PLC ASEAN dalam komuniti pelaburan global.
Kad skor terbabit mengamalkan prinsip tadbir urus korporat Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) sebagai penanda aras utamanya.
Ia merupakan salah satu cara untuk mendisiplinkan pasaran bagi mendorong tadbir urus yang baik di kalangan syarikat yang disenaraikan secara awam untuk meningkatkan nilai pemegang saham dari semasa ke semasa. – UTUSAN










