PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menawarkan insentif Sinaran Merdeka bagi menggalakkan pengguna komersial menerangi bangunan dan kawasan persekitaran mereka dengan lampu hiasan.
TNB dalam satu kenyataan berkata, insentif yang diberikan sejak 2000 itu ditawarkan kepada semua pengguna di bawah tarif perdagangan (tarif B, C1 dan C2) yang telah beroperasi sekurang-kurangnya setahun (sebelum 1 Ogos 2020) untuk tempoh dua bulan iaitu Ogos dan September 2021.
“Ia melibatkan pengguna komersial seperti bangunan pencakar langit, bangunan pejabat, kompleks komersial, kompleks membeli-belah, hotel dan stesen minyak.
“Kadar insentif adalah 20.8 sen/kWj (mengikut kadar tarif Neon & Floodlight) bagi jumlah peningkatan penggunaan elektrik yang melebihi purata kegunaan tiga bulan yang diambil dari Mei, Jun dan Julai 2021,” katanya.
Menurut TNB, manfaat insentif khas ini akan dimasukkan ke dalam bil Oktober 2021 yang akan dipaparkan sebagai ‘Diskaun Karnival’.
Promosi tersebut bermula pada 1 Ogos sehingga 15 September 2021.
Pelanggan boleh memohon secara online melalui portal myTNB (www.mytnb.com.my) atau membuat permohonan di Kedai Tenaga berhampiran. – UTUSAN










