Merancakkan pertumbuhan PMKS di Malaysia - Utusan Malaysia

Merancakkan pertumbuhan PMKS di Malaysia

SECARA amnya, sektor pasaran modal jarang dimanfaatkan oleh PMKS kerana ia lebih terarah kepada syarikat-syarikat besar. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia menyumbang hampir sebanyak 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semasa. Dalam mendapatkan modal, kebiasaannya pengusaha PMKS akan memohon pembiayaan sama ada melalui institusi perbankan atau agensi-agensi pembiayaan kerajaan. Secara amnya, sektor pasaran modal pula jarang dimanfaatkan oleh PMKS kerana ia lebih terarah kepada syarikat-syarikat besar.

Namun demikian, apabila Suruhanjaya Sekuriti (SC) melancarkan rangka kerja platform pembiayaan antara rakan setara (P2P) dan pendanaan ekuiti ramai (ECF), pengusaha PMKS kini berpeluang untuk mengumpul dana melalui pasaran modal.

Menurut SC, sejak ia dilancarkan, hampir 3,000 PMKS telah dapat memanfaatkan platform P2P dan ECF ini. Pada 2020, aktiviti pengumpulan dana melalui P2P dan ECF telah meningkat kepada RM1.34 billion. Ini membuktikan bahawa bukan sahaja PMKS kini mempunyai sumber modal alternatif, malahan telah ada pelabur-pelabur yang berminat dan bersedia untuk melabur di dalam aktiviti-aktiviti PMKS. Dalam erti kata lain, satu aset pelaburan baharu telah berjaya diwujudkan melalui platform P2P dan ECF.

Walau bagaimanapun, menurut SC, setakat ini hanya sebanyak RM1.6 juta dana Syariah dikumpulkan oleh P2P dan ECF. Jumlah ini masih kecil berbanding dengan peluang perniagaan yang ada di Malaysia, terutamanya dalam sektor ekonomi halal yang diunjurkan akan berkembang sebanyak AS$113.2 bilion (RM480.18 bilion) menjelang 2030.

Sebagai usaha untuk memberikan peluang yang lebih luas kepada PMKS untuk mendapatkan modal patuh Syariah melalui platform P2P dan ECF, SC telah melancarkan satu ‘Kit Panduan Penilaian Penyaringan Syariah Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Tidak Tersenarai (Kit Panduan)’.

Menerusi penggunaan kit panduan kendiri ini, status Syariah sesebuah PMKS akan dapat ditentukan sendiri oleh PKMS. Dokumen lima muka surat ini akan memudahkan penasihat Syariah P2P dan ECF untuk menyaring PMKS. Oleh kerana kaedah penyaringan ini telah pun mendapat pengesahan Majlis Penasihat Syariah (MPS) SC, hasil saringan tidak lagi memerlukan kelulusan daripada MPS-SC.

Dalam membangunkan kit panduan ini, SC telah mengambil kira aspek pelaksanaan oleh PMKS. Secara amnya, kaedah penyaringan Syariah ini adalah sama seperti yang terpakai kepada syarikat-syarikat awam yang tersenarai di Bursa Malaysia. Ia dibahagikan kepada dua penanda aras iaitu tanda aras aktiviti perniagaan (business-activity benchmarks) dan tanda aras nisbah kewangan (financial ratio benchmarks).

Mengambil kira kemungkinan PMKS mempunyai hutang konvensional yang tinggi, nilai penyaringan nisbah hutang konvensional ke atas keseluruhan aset (debt over total assets) telah ditingkatkan daripada 33 peratus kepada 49 peratus.

PENULIS adalah Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN