PETALING JAYA: Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan LinkedIn untuk meningkatkan penglibatan digital dalam perniagaan dan membangunkan bakat digital di negara ini.
Perjanjian ditandatangani pada 22 Julai itu membolehkan agensi tersebut bekerjasama meningkatkan penglibatan digital dalam kalangan syarikat tempatan bagi memastikan mereka kekal relevan serta efektif ketika menerokai persekitaran digital.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, pendemik Covid-19 telah memacu proses pendigitalan tempatan dan global dengan lebih meluas, jadi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memerlukan cara yang lebih inovatif untuk terus bersaing.
“Dua perkara yang menjadi elemen penting kepada syarikat pada hari ini ialah memiliki penglibatan digital yang kukuh dan bakat digital yang berdaya saing. Kerjasama antara MDEC dan LinkedIn akan membantu memastikan perniagaan tempatan kekal kompetitif di peringkat dunia, selaras dengan matlamat Pelan Induk Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).
“Tambahan pula, persekitaran pekerjaan juga telah mencatatkan perubahan yang cukup besar kerana menurut Laporan Pekerjaan Masa Depan WEF, sebanyak 97 juta pekerjaan baharu akan tercipta dan 50 peratus daripada majikan memerlukan latihan semula menjelang 2025.
“Kerjasama strategik dengan LinkedIn ini merupakan salah satu bukti usaha berterusan MDEC bagi meningkatkan libat urus dengan syarikat teknologi global untuk menangani cabaran dalam ekonomi digital dan memperkukuhkan tenaga kerja digital dalam usaha kami membantu pemulihan ekonomi Malaysia dan menyediakan peluang digital yang adil kepada rakyat dan perniagaan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Asia, Penyelesaian Bakat dan Pembelajaran LinkedIn, Frank Koo memaklumkan, Covid-19 telah mempercepat proses penerimaan platform digital di seluruh Asia Tenggara.
“Transformasi digital telah menyebabkan banyak perubahan dalam sektor pekerjaan. Sebagai contoh, telah memacu penerimaan amalan baharu dalam perniagaan hampir ke semua syarikat di Malaysia.
“Oleh itu, persediaan perniagaan dan pekerja dengan kemahiran dan keupayaan digital telah menjadi perkara yang sangat penting untuk membantu mereka kekal relevan.
“Kami amat gembira kerana dapat bekerjasama dengan MDEC untuk memastikan perniagaan dan pekerja bersedia untuk bersaing dalam persekitaran digital pada hari ini,” ujarnya.
Aspek MoU ini juga akan melibatkan pelbagai aktiviti termasuklah webinar untuk menambah baik halaman LinkedIn syarikat dan juga membina halaman korporat antarabangsa menggunakan platform berkenaan untuk PKS bagi memperluas capaian mereka di peringkat serantau dan dunia.
MoU berkenaan juga akan menyaksikan kedua-dua pihak bekerjasama dalam pelbagai inisiatif untuk membangunkan bakat digital di Malaysia termasuk program semasa iaitu Let’s Learn Digital 2021, di mana LinkedIn menawarkan kursus Jejak Pemasaran Digital kepada rakyat Malaysia. – UTUSAN










