PETALING JAYA: Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) memeterai memorandum perjanjian (MoA) ke arah pembangunan infrastruktur kenderaan elektrik (EV) serta pemerkasaan rantaian nilai EV di Malaysia.
Melalui perjanjian itu, MARii dan Pekema akan berkolaborasi dalam membina 1,000 stesen pengecas (DC rapid charges) di seluruh negara menjelang 2025.
Kedua-dua pihak juga akan membangunkan aplikasi kesalinghubungan merangkumi e-pembayaran, carian stesen pengecas, sistem pengurusan bateri dan rangkaian pusat servis bagi ekosistem pengecasan EV.
MARii dan Pekema dalan kenyataan bersama memberitahu, aktiviti pembangunan itu akan diselaraskan melalui Pusat Kecemerlangan EV yang bakal dibina melalui perkongsian tersebut.
Jelasnya, pusat itu akan membolehkan penyelarasan dan integrasi ekosistem pengecasan bagi memenuhi keperluan pengguna e-mobiliti pada masa hadapan.
“Pusat kecemerlangan ini juga beroperasi sebagai pusat sokongan lepas jualan dan melaksanakan latihan, pembaikan, waranti, khidmat nasihat, komunikasi, pemasaran dan jalinan kolaborasi strategik dalam bidang berkaitan kenderaan elektrik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Ts. Madani Sahari berkata, perjanjian itu merupakan pencapaian penting, hasil daripada kolaborasi awam-swasta bagi merealisasikan penglibatan rakyat Malaysia dalam teknologi nilai tinggi, selari dengan Dasar Automotif Nasional 2020.
“Pusat kecemerlangan ini bakal menjadi platform penting dalam ekosistem EV, terutamanya dalam bidang-bidang jualan, lepas jualan dan pengalaman pengguna EV – dan akan membawa dimensi baharu kepada ekosistem fasiliti MARii seperti MARii Design Centre, MARii Academy, MARii Simulation & Analysis Centre (MARSAC) dan National Emission Test Centre (NETC),” katanya.
Presiden Pekema, Datuk Zainuddin Abdul Rahman pula berkata, pada tahun ini sahaja, sebanyak 11 stesen pengecas telah dibina.
Pekema katanya, komited terhadap pembangunan pusat perkhidmatan lepas jualan, mencipta peluang pekerjaan berkemahiran tinggi baharu, dan mempercepatkan adaptasi tenaga hijau boleh diperbaharui.
“Saya percaya dengan pemeteraian MoA ini, ia akan merancakkan bidang-bidang kerjasama sedia ada antara Pekema dan MARii, di samping menjana bidang kerjasama baharu
yang memberikan impak dan manfaat kesejahteraan hidup dalam era kemesraan persekitaran,” kataya. – UTUSAN










