Malakoff bantu 500 keluarga pendapatan rendah - Utusan Malaysia

Malakoff bantu 500 keluarga pendapatan rendah

PENYAMPAIAN sumbangan Malakoff kepada keluarga yang terkesan akibat pandemik di Perak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Atas semangat prihatin dan memahami kesukaran yang ditanggung keluarga berpendapatan rendah sepanjang pandemik ini, Malakoff Corporation Berhad menyediakan bantuan makanan kepada 500 keluarga yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, bantuan yang disampaikan itu diharap dapat menaikkan semangat penerima untuk meneruskan kehidupan.

“Sementara sebahagian kita dapat mengekalkan norma dengan bekerja atau belajar dengan selesa di rumah, ada keluarga yang sedang bergelut dan memerlukan bantuan.

“Sebagai organisasi yang bertanggungjawab, menjadi tugas kami untuk mengenal pasti mereka ini dan memastikan sekurang-kurangnya, bekalan makanan mereka tidak terputus,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Malakoff, mereka mengenal pasti keluarga yang memerlukan dari Mukim Serkat, Pontian, Johor dan Kampung Segari, Lumut, Perak iaitu kawasan di mana Malakoff beroperasi.

Pengesanan keluarga yang memerlukan dilakukan dengan bantuan pemimpin komuniti setempat.

Katanya, bantuan yang disampaikan merangkumi bekalan makanan dan bahan makanan asas speerti beras, minyak masak dan tepung.

Anwar berkata, Malakoff turut mengumpul dana daripada kakitangannya untuk membantu mereka yang memerlukan, terutamanya komuniti di kawasan jana kuasanya beroperasi.

Kata beliau, sehingga kini Malakoff telah menyumbang dana sebanyak RM539,040 sejak bermulanya pandemik.

“Saya bersyukur hubungan rapat kami dengan komuniti setempat telah membuka jalan untuk kami menghulurkan bantuan kepada keluarga memerlukan di Pontian dan Segari.

“Saya sangat berharap sumbangan ini akan dapat memberikan bantuan segera sementara kami memastikan tiada pihak yang kelaparan dan tiada yang ketinggalan, sejajar dengan satu daripada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PPB) ke arah sifar kebuluran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN