PETALING JAYA: Aset Turki milik penuh Malaysia Airports, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gökçen (ISG) menunjukkan pemulihan yang memberangsangkan pada separuh pertama 2021 dengan jumlah keseluruhan pergerakan trafik penumpang pada 53 peratus daripada tahap sebelum Covid-19.
Faktor penerbangan kargo turut meningkat sebanyak 70 peratus selain dalam masa sama menduduki tempat keempat lapangan terbang tersibuk di Eropah menurut Airports Council International (ACI).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, ISG adalah penyumbang penting pemulihan kumpulan memandangkan pergerakan trafik di ISG lebih mantap berbanding di Malaysia.
Ujarnya, pergerakan penumpang ISG meningkat 17.6 peratus dalam separuh pertama 2021 berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala operasi di Malaysia menurun sebanyak 84.6 peratus.
“Namun, kedua-dua negara telah mencapai kadar vaksinasi yang baik. Dengan lebih 50 peratus populasi dewasa telah divaksin dan sasaran imuniti kelompok menjelang Oktober, kita dapat menjangkakan keadaan trafik akan bertambah baik kerana sekatan perjalanan antara negeri mungkin dibenarkan akhir tahun ini.
“Pengumuman kelonggaran terbaharu kepada individu dengan vaksin lengkap untuk melakukan perjalanan antara negeri dan terlibat dalam
aktiviti pelancongan seperti gelembung perjalanan Langkawi juga antara petunjuk awal untuk ke arah itu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut menjangkakan trafik domestik mendapat daya tarikan sehingga 70 ke 80 peratus daripada penduduk telah divaksinasi sepenuhnya, seiring dengan kegiatan ekonomi, pembukaan semula tempat pelancongan tempatan dan pelancongan Visiting Friends and Relatives (VFR).
“Kami berusaha untuk mengembalikan keyakinan perjalanan dengan memastikan keselamatan pengalaman melancong untuk semua pelanggan. Lima lapangan terbang kami telah menerima Akreditasi Kesihatan Lapangan Terbang (AHA) dari ACI dan banyak lagi akan mendapat penarafan sama,” jelasnya.
Kumpulan turut optimis dengan pemulihan untuk separuh kedua tahun ini seiring dengan pulangan trafik yang kuat menjelang suku keempat di negara dengan pelarasan vaksin yang tinggi seperti Turki, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Dalam pada itu, MAHB melaporkan, kerugian bersih suku kedua meningkat kepada RM226.09 juta daripada RM91.07 juta untuk tempoh sama tahun lalu.
Menerusi makluman MAHB kepada Bursa Malaysia, peningkatan kerugian itu antaranya disebabkan susut nilai dan pelunasan lebih tinggi, penyusutan dalam pendapatan lain serta peningkatan margin dalam perbelanjaan operasi bagi suku semasa.
MAHB tidak mengumumkan sebarang dividen bagi suku tahun semasa.
Menurut MAHB, pendapatan kumpulan meningkat kepada RM323.42 juta pada suku kedua 2021 berbanding RM272.18 juta tempoh sama tahun lalu, dipacu peningkatan pendapatan yang signifikan daripada operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Turki. – UTUSAN









