MAHB catat kerugian RM226.09 juta suku kedua - Utusan Malaysia

MAHB catat kerugian RM226.09 juta suku kedua

Pengambilalihan MAHB
GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) melaporkan kerugian bersih suku kedua meningkat kepada RM226.09 juta daripada RM91.07 juta untuk tempoh sama tahun lalu.

Menerusi makluman MAHB kepada Bursa Malaysia, peningkatan kerugian itu antaranya disebabkan susut nilai dan pelunasan lebih tinggi, penyusutan dalam pendapatan lain serta peningkatan margin dalam perbelanjaan operasi bagi suku semasa.

MAHB tidak mengumumkan sebarang dividen bagi suku tahun semasa.

Menurut MAHB, pendapatan kumpulan meningkat kepada RM323.42 juta pada suku kedua 2021 berbanding RM272.18 juta tempoh sama tahun lalu, dipacu peningkatan pendapatan yang signifikan dari operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Turki.

“Secara keseluruhan, Malaysia mencatat penurunan pendapatan sebanyak 43.2 peratus kepada RM125.8 juta namun, operasi Turki mencatat peningkatan pendapatan daripada RM35.1 juta suku kedua tahun lalu kepada RM176.3 juta suku semasa, sementara pendapatan Qatar meningkat dari RM15.5 juta kepada RM21.3 juta.

“Kumpulan mencatatkan kerugian sebelum cukai lebih tinggi sebanyak RM290.5 juta berbanding RM268.3 juta pada suku yang sama pada tahun sebelumnya kerana penyusutan dan pelunasan yang lebih tinggi, penurunan pendapatan lain dan kenaikan marginal dalam perbelanjaan operasi pada suku semasa yang dikaji,” kata MAHB.

Untuk separuh pertama yang berakhir pada 30 Jun 2021, MAHB memaklumkan kerugian bersih kumulatif kumpulan meningkat kepada RM447.39 juta daripada RM111.46 juta tahun sebelumnya sementara pendapatan turun kepada RM660.32 juta daripada RM1.21 bilion.

MAHB menjelaskan, hasil dalam segmen aeronatik menyusut 46 peratus kepada RM295.9 juta dalam separuh pertama 2021 berbanding tempoh sama tahun lalu ekoran penguncupan 55.4 peratus penumpang.

“Operasi di Malaysia mencatatkan penguncupan ketara dari segi pergerakan penumpang iaitu sebanyak 84.4 peratus kepada tiga juta penumpang berbanding 19.2 juta penumpang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

“Melangkah ke hadapan, MAHB percaya peningkatan individu lengkap divaksinasi di Malaysia bakal memberikan keyakinan untuk trafik penumpang meningkat semula terutama bagi sektor domestik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN