Lebihan akaun semasa negara RM14.4 bilion, meningkat 17.2 peratus - Utusan Malaysia

Lebihan akaun semasa negara RM14.4 bilion, meningkat 17.2 peratus

MOHD. UZIR MAHIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebihan akaun semasa negara pada suku kedua (S2) 2021, meningkat 17.2 peratus kepada RM14.4 bilion daripada RM12.3 bilion suku sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, lebihan tinggi dalam akaun semasa didorong terutamanya oleh prestasi yang baik dalam barangan walaupun defsiit perkhidmatan terus meningkat sejak suku kedua 2020 disebabkan penularan pandemik COvid-19.

Beliau berkata, ada suku dilaporkan, akaun barangan meningkat 11.1 peratus untuk mencatat lebihan lebih tinggi sebanyak RM40.7 bilion berbanding RM36.6 bilion suku sebelumnya.

“Prestasi ketara ini dipacu oleh eksport yang lebih tinggi pada RM244.0 bilion, meningkat sebanyak RM18.5 bilion dari suku sebelumnya.

“Eksport utama adalah barangan berasaskan Elektrik & elektronik (E&E), Petroleum dan Getah; terutamanya ke China, Singapura dan Amerika Syarikat (AS).

“Import barangan juga meningkat sebanyak RM14.5 bilion kepada RM203.4 bilion berbanding suku sebelumnya. Sumber import utama adalah dari China, Singapura dan Japan di mana peningkatan import disumbangkan oleh barangan perantaraan,” katanya dalam kenyataan.

Mohd. Uzir berkata, lebihan akaun semasa itu juga disokong oleh defisit Pendapatan sekunder yang lebih rendah berjumlah RM1.4 bilion berbanding RM3.6 bilion pada suku pertama 2021.

Katanya, ia berikutan penerimaan yang lebih tinggi dari luar negara, manakala pembayaran ke luar negara berkurangan disebabkan pengiriman wang keluar lebih rendah susulan penurunan bilangan pekerja asing di Malaysia.

Mengenai prestasi perdagangan, beliau berkata, import mencatatkan RM36.5 bilion yang secara relatifnya lebih tinggi daripada nilai eksport sebanyak RM21.1 bilion.

“Ini mengakibatkan defisit lebih tinggi dalam Perkhidmatan yang berjumlah RM15.4 bilion berbanding RM15.0 bilion pada suku sebelum, terutamanya disebabkan oleh Perjalanan dan Pengangkutan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN