Lebih 86 peratus warga kerja Proton telah divaksin sepenuhnya - Utusan Malaysia

Lebih 86 peratus warga kerja Proton telah divaksin sepenuhnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 86 peratus daripada 8,486 pekerja Proton sudah divaksin sepenuhnya sebagai langkah pencegahan Covid-19, melalui pusingan kedua Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

Menurut Proton, jumlah tersebut dijangka meningkat memandangkan 98 peratus pekerja sudah menerima dos pertama, selaras dengan sasaran syarikat mencapai imuniti kelompok di dalam rangkaian operasinya.

Tambahnya, sama seperti pusingan pertama vaksinasi, kompleks sukan di kilang Tanjung Malim telah digunakan sebagai Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN), menyediakan kemudahan vaksinasi bagi warga kerja serta pembekal di kawasan setempat, sementara mereka yang bekerja di Shah Alam mendapat vaksin di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, syarikat telah berjaya melaksanakan program vaksinasi PIKAS membabitkan lebih 60,000 penerima termasuk warga kerja, pembekal dan wakil jualan.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI); Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan (KKM) atas bantuan menjayakan program berkenaan.

“Ia merupakan tugas besar memerlukan koordinasi yang baik. Kami menjangkakan lebih 80 peratus daripada rangkaian operasi kami akan mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang akhir bulan ini.

“Ini akan membantu Proton untuk memulakan operasi sebaik sahaja industri automotif diberi lampu hijau untuk kembali beroperasi di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Chunrong, sebagai persediaan, Proton telah meneliti semula prosedur perniagaannya untuk mengurangkan kebarangkalian penyebaran jangkitan wabak berkenaan.

Jelasnya, operasi di setiap rangkaian telah diperketatkan untuk melindungi pelanggan dan pekerja sementara proses pembuatan di semua kilang Proton akan dipantau untuk mengurangkan sebarang risiko kebolehjangkitan di pelbagai peringkat.

“Proton komited untuk membantu Malaysia mengurangkan angka penularan wabak Covid-19 supaya mencapai matlamat Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Kami telah menghasilkan proses baharu di semua peringkat, dari kilang pembuatan ke pejabat korporat, bagi memastikan persekitaran bekerja yang baharu dan selamat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN