Kumpulan DRB-HICOM catat perolehan RM2.52 bilion S2, meningkat 30.8 peratus - Utusan Malaysia

Kumpulan DRB-HICOM catat perolehan RM2.52 bilion S2, meningkat 30.8 peratus

JUALAN kenderaan Proton turut meningkatkan pendapatan DRB-HICOM. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan DRB-HICOM Berhad mencatatkan perolehan bernilai RM2.52 bilion pada suku kedua (S2) 2021 berakhir 30 Jun lalu, peningkatan sebanyak 30.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Bagi tempoh separuh pertama tahun ini, Kumpulan mencatatkan perolehan sebanyak RM6.13 bilion, naik 29.4 peratus berbanding tempoh sama 2020.

Menurut DRB-HICOM, Kumpulan merekodkan kerugian pra-cukai sebanyak RM279.53 juta untuk suku kedua, manakala bagi separuh pertama berjumlah RM243.22 juta.

“Ini merupakan pemulihan jika dibandingkan dengan nilai kerugian yang lebih tinggi bagi tempoh-tempoh yang sama dalam Tahun Kewangan 2020, di mana masing-masing mencatatkan kerugian lebih besar pada RM365.80 juta dan RM511.11 juta,” katanya dalam kenyataan.

DRB-HICOM berkata, meskipun mengalami tekanan jualan akibat perlaksanaan perintah-perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penyebaran wabak Covid-19, pendapatan sektor automotifnya meningkat 52 peratus berbanding 2020, kepada RM4.35 bilion (separuh pertama 2020 sebanyak RM2.87 bilion).

Jelasnya, sebahagian besar pencapaian itu didorong oleh prestasi jualan kenderaan Proton dan jenama kenderaan lain dalam Kumpulan, serta pendapatan daripada syarikat pembuatan dan kejuruteraan seperti PHN Industry Sdn. Bhd. dan HICOM-Tech See Manufacturing Sdn. Bhd.

Tambahnya, pendapatan dicatat pada jumlah RM1.78 bilion untuk suku dilaporkan, meningkat sebanyak RM721 juta atau 68 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2020.

“Namun, tempoh PKP yang berpanjangan ini dijangka akan mempengaruhi jumlah
penjualan tahunan kerana pusat-pusat pameran untuk Proton, Honda, Mitsubishi,
Volkswagen, Isuzu dan TATA masih kekal ditutup di beberapa buah negeri sekalipun
11 sektor ekonomi dibuka semula baru-baru ini.

“Sementara itu, Kompleks Automotif HICOM di Pekan, Pahang mendapat kebenaran untuk beroperasi setelah negeri Pantai Timur tersebut memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Nasional (PPN), namun vendor dan pembekal yang berpusat di Lembah Klang masih ditutup dan bekalan komponen kekal terhenti,” katanya.

DRB-HICOM memberitahu, pada suku kedua, perolehan sektor perkhidmatannya menyusut sebanyak 9 peratus tahun ke tahun kepada RM791.83 juta, didorong jumlah pendapatan yang lebih rendah dari Pos Malaysia.

Untuk tempoh separuh pertama 2021, pendapatan untuk sektor terbabit adalah sebanyak RM1.66 bilion lebih rendah berbanding RM1.70 bilion tempoh sama tahun lalu.

Sumbangan lebih rendah turut direkodkan dalam sektor hartanah Kumpulan yang menyusut sebanyak 28 peratus berbanding tempoh sama 2020.

Bagi tempoh dilaporkan, sektor hartanah DRB-HICOM merekodkan pendapatan sebanyak RM54.91 juta berbanding RM78.90 suku sama 2020. Sementara dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sektor berkenaan merekodkan pendapatan sebanyak RM124.57 juta berbanding RM172.24 tahun lalu.

“Portfolio hartanah DRB-HICOM kini tidak termasuk sektor runcit dan hospitaliti berikutan urus niaga korporat yang telah diselesaikan pada Disember 2020, menyaksikan DRB-HICOM tidak lagi bersaing didalam sub-sektor tersebut,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN