Krisis bantut pembangunan negara - Utusan Malaysia

Krisis bantut pembangunan negara

KEJATUHAN ringgit dikatakan menjadikan eksport Malaysia lebih menarik. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Krisis politik yang terus berlaku di negara ini bakal memberi impak buruk kerana pelbagai rancangan dan pemulihan ekonomi yang penting terpaksa ditangguhkan sehingga kerajaan baharu terbentuk.

Ini termasuk penangguhan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang sepatutnya diumumkan awal tahun lalu dan Belanjawan 2022 yang perlu dibentangkan secepat mungkin di tengah-tengah ketidakstabilan politik negara ini.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid menegaskan, kestabilan politik sangat mustahak dalam hala tuju ekonomi dan pasaran.

Jelasnya, sebagai pembuat dasar dan polisi, kekuasan politik mempengaruhi pelbagai isu, contohnya kebenaran membawa pekerja asing bekerja di sektor ekonomi seperti perladangan dan perkilangan.

“Dengan keadaan semasa ini, bagaimana pula kekuatan politik dapat membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengharungi cabaran ekonomi pandemik Covid-19, tambahan lagi program-program mengawal pengangguran dan menangani hutang isi rumah yang tinggi serta masalah muflis.

“Tambahan pula dengan (RMK-12) yang tertangguh, bagaimana negara dapat maju ke hadapan tanpa mempunyai perancangan yang rapi? Ini membantutkan pembangunan negara dari segi ekonomi, sosial dan segalanya,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Ketika diminta mengulas mengenai impak krisis politik kepada unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, beliau berkata, pelabur asing pasti akan memerhatikan pergolakan politik Malaysia dengan penuh minat kerana potensi negara yang besar jika berjaya menangani krisis kesihatan, ekonomi dan politik ini.

“Namun negara-negara jiran juga turut bersaing dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI) ini, dan negara pasti mengalami kerugian besar sekiranya pelabur asing memilih negara jiran berbanding kita.

“Dalam tempoh yg sukar sekarang, Malaysia sedang dalam kesulitan dan sekiranya berjaya ditangani sekalipun, ia pasti akan mengambil masa, tenaga dan sumber kewangan lebih besar untuk menarik pelaburan kembali. Apa yg ditakuti, pelaburan asing sudah pun beralih ke negara jiran,” ujarnya.

Lebih membimbangkan, Aimi Zulhazmi menjelaskan, jika keadaan bertambah buruk dengan kes jangkitan Covid-19 yang tidak menurun, besar kemungkinan agensi penarafan antarabangsa akan menyemak turun rating negara.

“Baru-baru ini, Firma penarafan antarabangsa Fitch Ratings telah menurunkan rating negara dari A- ke BBB+, selain menyemak jangkaan KDNK kepada 0 peratus untuk 2021, berbanding jangkaan BNM pada tiga ke empat peratus.

“Dalam situasi pandemik sekarang, sukar sekali untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), walaupun majoriti mahu PRU diadakan untuk menyelesaikan ‘political stalemate’ kerana tiada mana-mana pihak yang mempunyai majoriti mudah di Parlimen.

“PRU berpotensi menyemarakkan lagi jangkitan seperti yang berlaku ketika PRK Sabah akhir 2020 yang lalu. Oleh itu, cara terbaik semestinya dengan melantik caretaker Perdana Menteri untuk mentadbir negara dan mengawal pandemik serta mengeluarkan negara daripada tekanan ekonomi dan sosial,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN