KLIA, LGK No. 1 di dunia untuk S2 2021 - Utusan Malaysia

KLIA, LGK No. 1 di dunia untuk S2 2021

MOHD. SHUKRIE MOHD. SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) muncul lapangan terbang No.1 dunia untuk suku kedua 2021, berdasarkan tinjauan Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) global terkini oleh Airports Council International (ACI).

Menurut Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), KLIA dan LGK mencapai skor sempurna 5.0/5.0 dalam tinjauan industri yang menjadi penanda aras lapangan terbang terbaik dunia dari segi kemudahan dan standard perkhidmatan.

Jelasnya, KLIA sebelum ini berada di tempat ke-9 dengan skor 4.99/5.0 untuk suku pertama (S1) dalam kategori lebih 40 juta penumpang setahun (mppa), sementara LGK ketiga dengan skor 4.97/ 5.00 dalam kategori 2 hingga 5 mppa.

“Pencapaian global kedua-dua lapangan terbang itu sangat signifikan dan menandakan komitmen MAHB dalam memastikan pengalaman penumpang bertaraf dunia,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Kketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, pencapaian tersebut bukti usaha syarikat dalam mengekalkan perkhidmatan cemerlang dan melaksanakan langkah-langkah keselamatan, sementara ia bersiap sedia untuk pembukaan semula perjalanan

“Inisiatif utama yang menyumbang kepada peningkatan prestasi termasuk pelaksanaan ketat prosedur operasi standard (SOP) perjalanan baharu yang meningkatkan pengalaman perjalanan yang selamat.

“Selain itu, pembukaan 64 bilik air baharu untuk keselesaan berterusan penumpang. Bagi LGK, suasana terminal yang diperbaharui dan ditingkatkan hasil daripada kejayaan `reset’ inisiatif komersial terus menyumbang kepada kepuasan menyeluruh penumpang,” katanya.

Julai lalu, MAHB menyaksikan peningkatan jumlah penumpang di lapangan terbang kendaliannya sebanyak 35 peratus.

Di peringkat tempatan, MAHB merekodkan pergerakan penumpang sekitar 260,000, peningkatan kira-kira 40 peratus daripada bulan sebelumnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN