PETALING JAYA: Kuala Lumpur International Airport (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) berjaya mencapai Akreditasi Kesihatan Lapangan Terbang (AHA) berikutan amalan standard tinggi dalam aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan.
Pencapaian yang diberikan oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) itu selepas kedua-dua lapangan terbang tersebut menepati piawaian antarabangsa selari dengan panduan Pemulihan Perniagaan Penerbangan ACI.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh, pentauliahan itu adalah bukti komitmen berterusan MAHB untuk memastikan tahap keselamatan tertinggi di lapangan terbangnya.
“Kami sentiasa memastikan keselamatan lapangan terbang agar para penumpang dapat melakukan perjalanan dengan tenang. Kami terus mengikuti teknologi baharu untuk meningkatkan protokol keselamatan kami.
“Antara ciri baharu yang akan datang di KLIA tahun ini adalah pelaksanaan inisiatif token tunggal yang memanfaatkan teknologi pengecaman wajah untuk perjalanan tanpa sentuhan. Ini adalah sumbangan kami untuk mengembalikan keyakinan perjalanan udara dan mempercepat pemulihannya,” katanya dalam kenyataan.
Aset Turki MAHB, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen telah mendapat akreditasi yang sama awal tahun ini dan empat lagi lapangan terbang di Malaysia bakal menyusul.
Empat lapangan terbang tersebut adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan Terbang Subang.
Sementara itu, Ketua Pengarah, ACI Asia-Pasifik, Stefano Baronci memaklumkan, KLIA kerana menjadi lapangan terbang pertama di Malaysia yang menerima Akreditasi Kesihatan Lapangan Terbang global.
“Akreditasi ini akan berfungsi sebagai peringatan yang meyakinkan penumpang bahawa langkah-langkah keselamatan yang diakui di peringkat antarabangsa telah dilaksanakan.
“Pendekatan Malaysia Airports supaya rangkaian lapangan terbangnya memanfaatkan teknologi, robot dan e-dagang secara meluas akan menjadikannya stabil selepas perjalanan udara dibenarkan semula,” tambahnya.
Sejak pandemik Covid-19 tahun lalu, MAHB telah melaksanakan pelbagai langkah keselamatan termasuk kemudahan canggih seperti pengimbas terma inframerah, pemeriksaan badan tanpa sentuhan, penanda jarak fizikal dan pembersihan yang kerap di sekitar terminal.
Program AHA mementingkan langkah dan prosedur kesihatan yang diamalkan oleh lapangan terbang seperti kebersihan dan pembasmian kuman, jarak fizikal, ketersediaan kemudahan, keselamatan kakitangan dan komunikasi penumpang. – UTUSAN










